Konvensyen Pemuda Kerajaan Perpaduan hari ini melancarkan 5 Tekad Pemuda Kerajaan Perpaduan.
Tekad itu dilancarkan setelah selesai sesi Dialog ‘Menguruskan Perbezaan dan Mencari Titik Persamaan’ melibatkan sayap-sayap pemuda Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, YAB Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Tiga agenda utama telah dibawakan menerusi sesi dialog terbuka iaitu ‘Menguruskan Perbezaan dan Mencari Titik Persamaan’ Politik sebagai Wadah Anak Muda’ dan ‘#BinaBersama’ oleh pimpinan sayap-sayap pemuda.
"Agenda ini menekankan beberapa cabaran yang dihadapi, mengetengahkan resolusi bagi mendepani dinamik politik baharu, serta tekad dan aspirasi anak muda bagi membina masa depan negara yang lebih baik," kata kenyataan Pemuda Kerajaan Perpaduan.
5 tekad yang telah dipersetujui adalah:
1. “Bina Bersama” Kesepakatan Politik - Membina kesepakatan dengan menghormati perlembagaan negara demi mempertahankan masyarakat majmuk yang patriotik, nekad untuk membina bersama sebuah negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah.
2. “Bina Bersama” Perpaduan Nasional- Berlandaskan nilai hormat dan ihsan, menghormati kepelbagaian latar belakang dan budaya yang menjadi asas utama pembentukan Malaysia.
3. “Bina Bersama” Ekonomi Belia Memastikan golongan belia dapat meneruskan hidup secara bermaruah dengan mewujudkan peluang ekonomi dan menyediakan pekerjaan bermutu yang dipacu oleh daya cipta, daya kreatif serta pendekatan mampan.
4. “Bina Bersama” Jaminan Sosial - Berteraskan semangat setia kawan sesama rakyat Malaysia bagi menegakkan keadilan sosial dengan menjuarai nasib golongan kurang berada dan sederhana demi kesejahteraan bersama tanpa mengira agama dan budaya.
5. “Bina Bersama” Kemampanan dan Kestabilan Sosio Ekonomi - Laksanakan intervensi strategik untuk merapatkan jurang sosioekonomi antara komuniti-komuniti dengan meningkatkan daya saing supaya tiada siapa yang tercicir dalam menikmati kemakmuran negara.
Manakala Konvensyen Pemuda tersebut diakhiri dengan pelancaran “Geng Perpaduan” sebagai medium untuk bergerak di lapangan mengangkat agenda rakyat khususnya golongan belia.
Menurut kenyataan itu lagi, Geng Perpaduan merupakan mesej jelas dan suatu usaha yang unik dengan membawa semangat yang dimulakan semasa sejarah awal kemerdekaan ketika zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan meneruskan legasi Tun Abdul Razak yang konsisten dalam merapatkan permuafakatan kaum serta wilayah dalam membina Negara Bangsa yang selaras dengan konsep Malaysia Madani.
Comments