top of page

Pemuda AMANAH tawar khidmat guaman percuma isu pencerobohan tanah

  • 19 minutes ago
  • 2 min read


Pemuda AMANAH Nasional memandang serius isu pencerobohan tanah secara tidak sah oleh mana-mana pihak, termasuk dalam hal pembinaan rumah ibadat tanpa izin dan menegaskan bahawa setiap tindakan perlu berpaksikan kepada prinsip kedaulatan undang-undang.


Sehubungan itu, Kluster KANUN Muda KANUN Nasional, Zulsyahmi Husaini Kamarulzaman, berkata pihaknya bersama Pemuda AMANAH dan KANUN Nasional menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada mana-mana tuan tanah yang berdepan isu pencerobohan hak milik.


"Langkah ini diambil bagi memastikan hak pemilik tanah yang sah terpelihara, di samping memastikan setiap pertikaian diselesaikan secara tertib melalui koridor undang-undang yang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, pendekatan tersebut juga bertujuan mengimbangi sensitiviti agama dan kaum di Malaysia agar isu yang berbangkit tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Beliau menegaskan usaha mempertahankan hak pemilikan tanah bukan bertujuan menanam permusuhan antara kaum atau agama, sebaliknya mendidik masyarakat bahawa kebebasan beragama dan pembinaan rumah ibadat mesti selari dengan pematuhan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penghormatan terhadap hak milik individu.


"Dalam semangat Rahmatan Lil Alamin, kami menegaskan bahawa usaha mempertahankan hak pemilikan tanah ini bukanlah bertujuan untuk menanam benih permusuhan antara kaum atau agama.


"Sebaliknya, ia adalah satu bentuk pendidikan masyarakat bahawa kebebasan beragama dan hak membina rumah ibadat haruslah selari dengan kepatuhan kepada peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penghormatan terhadap hak milik orang lain.


"Kami mahu mengelakkan sebarang tindakan melampau atau provokasi luar jangka terutama terkait isu agama," ujarnya.


Tambah beliau, Pemuda AMANAH komited menjadi jambatan keadilan kepada rakyat dan menyeru semua pihak agar merujuk kepada pihak berkuasa sebelum melaksanakan sebarang pembangunan bagi mengelakkan kerugian di masa hadapan.


"Kami menyeru semua pihak merujuk kepada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang pembangunan bagi mengelakkan kerugian di masa hadapan.


"Matlamat kami jelas iaitu membina sebuah Malaysia yang stabil di mana setiap warganegara berasa selamat dengan hak harta benda mereka, manakala institusi agama pula berdiri megah di atas tanah yang sah dan diredai," katanya lagi.


Beliau turut memaklumkan bahawa mana-mana individu yang terkesan boleh menghubungi beliau atau wakil Pemuda AMANAH serta Kluster KANUN untuk tindakan lanjut.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page