Pemuda AMANAH Selangor gesa Pemuda UMNO, DAP henti perbalahan
- Suara Keadilan

- Aug 25
- 2 min read

Pergeseran antara Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda DAP perlu diredakan dengan kedua-dua belah pihak menghentikan "pertikaman lidah" ekoran isu bendera terbalik, demikian menurut sayap Parti Amanah Negara (AMANAH).
Perkara itu terkandung usul Pemuda AMANAH Selangor dalam konvensyennya hari ini yang mendesak agar kedua-dua sayap UMNO dan DAP itu segera menghentikan perbalahan politik dan kembali bersatu demi kepentingan rakyat serta kestabilan negara.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Ammar Izham ketika membentangkan usul tersebutmenegaskan titah Yang di-Pertuan Agong mengenai keutamaan kestabilan politik perlu dijunjung Bersama terutamanya parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"Jangan kerana marahkan nyamuk, rumah dibakar. Perpecahan hanya akan merugikan rakyat dan mengancam masa depan anak muda," katanya dipetik Selangortoday.
Ammar mengingatkan bahawa sejarah dunia jelas membuktikan ketidakstabilan politik membawa kesan buruk termasuk konflik yang melanda negara luar seperti Syria, Sudan dan Myanmar perlu dijadikan iktibar yang tidak boleh dipandang ringan.
Justeru itu, beliau merakamkan penghargaan kepada ketua-ketua parti utama dalam kerajaan yang mempunyai jiwa besar dalam berdepan dengan kemelut perang mulut antara Pemuda UMNO dan DAP.
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang telah mengenepikan kepentingan peribadi demi kestabilan negara.
"Saya ulangi, Pemuda UMNO dan Pemuda DAP mesti berdamai sekarang. Rakyat menuntut politik matang, bukan politik dendam," tegasnya lagi.
Usul tersebut kemudiannya diluluskan sebulat suara oleh lebih 300 perwakilan konvensyen yang berlangsung di Selayang, sekali gus mencerminkan iltizam Pemuda AMANAH untuk melihat generasi muda tampil sebagai penggerak penyatuan dalam landskap politik negara.
Sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15, hubungan antara Pemuda UMNO dan Pemuda DAP beberapa kali tercalar akibat kenyataan balas-membalas di media sosial dan forum politik, terutamanya berkaitan isu perkauman serta pengagihan kuasa.
Meskipun pucuk pimpinan kedua-dua parti mengekalkan kerjasama di peringkat kerajaan, suara lantang dari kalangan pemuda sering menimbulkan ketegangan yang boleh menjejaskan persepsi awam terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Seruan Pemuda AMANAH Selangor ini dilihat sebagai mesej jelas bahawa generasi muda tidak mahu terus dibelenggu politik permusuhan, sebaliknya menuntut kesepakatan demi tumpuan kepada isu lebih besar seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan dan masa depan negara.









Comments