top of page

Pemuda AMANAH kecam pencabulan AS ke atas kedaulatan Venezuela

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 days ago
  • 2 min read
ree

Pemuda AMANAH Nasional mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan unilateral oleh Amerika Syarikat di Caracas, Venezuela yang didakwa membawa kepada penculikan Presiden Nicolas Maduro yang diterbangkan ke Amerika Syarikat untuk dibicarakan.


Exco Pemuda AMANAH Nasional, Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar berkata, pihaknya mengikuti perkembangan tersebut dengan penuh kebimbangan kerana ia melibatkan pencabulan kedaulatan sebuah negara dan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.


"Tindakan ketenteraan unilateral yang diarahkan oleh Presiden Donald Trump ini merupakan satu pencabulan nyata terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan sesebuah negara berdaulat.


"Sebarang pertikaian undang-undang atau tuduhan jenayah terhadap mana-mana pemimpin negara seharusnya diselesaikan melalui mekanisme mahkamah antarabangsa yang diiktiraf, bukannya melalui pencerobohan fizikal dan penculikan politik," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, operasi ketenteraan tersebut bukan sahaja menggugat kestabilan Venezuela, malah memberi kesan serius terhadap keamanan global.


"Tindakan "diplomasi koboi" ini menghantar isyarat bahawa kekuatan ketenteraan boleh mengatasi lunas undang-undang antarabangsa."


Sheikh Khuzaifah turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat awam susulan laporan letupan di kawasan penempatan di Caracas yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta ketakutan dalam kalangan penduduk.


"Kami menuntut agar "bukti hayat" (proof of life) diberikan segera dan hak asasi kemanusiaan bagi Presiden Maduro serta isteri beliau, Cilia Flores, dihormati mengikut konvensyen antarabangsa," katanya.


Dalam pada itu, Pemuda AMANAH menegaskan pendirian bahawa dialog dan diplomasi mesti diutamakan berbanding penggunaan kekerasan.


"Sebagai sebuah wadah politik yang memperjuangkan Islam Progresif dan keamanan, Pemuda AMANAH menggesa kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra untuk menyatakan bantahan rasmi terhadap pencerobohan ini di peringkat PBB.


"Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mendesak pengunduran segera tentera asing dari bumi Venezuela bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar," katanya.


Beliau menegaskan Pemuda AMANAH Nasional akan terus berdiri teguh bersama prinsip keadilan sejagat dan menolak sebarang bentuk imperialisme moden yang mengancam keharmonian dan keamanan dunia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page