Pempengaruh disiasat MCMC terbabit penyebaran maklumat palsu
- Suara Keadilan

- Apr 29
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial kerana didakwa terbabit dalam penyebaran maklumat palsu dan pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran.
Menurut MCMC, siasatan dijalankan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), dengan dua sesi rakaman percakapan diadakan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, masing-masing pada 25 dan 28 April lalu.
''Siasatan awal mendapati, kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas.
''Selain itu, terdapat cubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.
''Tindakan sedemikian berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terlibat serta melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi,'' kata suruhanjaya itu menerusi satu kenyataan.
Tegas MCMC, semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.
Setiap siasatan katanya, dijalankan secara profesional berlandaskan prosedur yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998, dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan.
''MCMC mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja), bersifat mengancam, mengganggu, atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada,'' katanya lagi.









Comments