Pemindahan paksa akibat konflik: Krisis semakin sistemik - MAPIM
- Redzuan Shamsudin

- Apr 24
- 2 min read

Krisis pemindahan paksa manusia semakin sistemik dan disengajakan, melibatkan konflik serta penindasan di beberapa wilayah utama dunia termasuk Gaza, (Palestin) komuniti Rohingya (Myanmar) dan Sudan.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar), data United Nations High Commissioner for Refugees menunjukkan jumlah pelarian global telah melebihi 110 juta orang bagi tempoh 2024 hingga 2025, sekali gus menggambarkan skala krisis yang semakin membimbangkan.
"Pemindahan paksa bukan lagi kes terpencil, tetapi telah menjadi alat geopolitik dan konflik moden," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa pemindahan paksa dilarang di bawah Geneva Conventions, manakala Rome Statute of the International Criminal Court mengklasifikasikan deportasi atau pemindahan paksa sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
Dalam konteks semasa, Azmi berkata situasi di Gaza menunjukkan pemindahan besar-besaran akibat serangan berterusan dan sekatan yang menghalang pemulangan serta pemulihan, selain menimbulkan isu pelanggaran prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Bagi Rohingya pula, beliau menyifatkan krisis itu sebagai pengusiran sistematik yang melibatkan penafian kewarganegaraan dan petunjuk kepada pembersihan etnik, manakala di Sudan, konflik dalaman telah menyebabkan jutaan penduduk dipindahkan dan mencetuskan krisis kemanusiaan serius.
Mengulas dari sudut Islam, beliau berkata konsep Maqasid Syariah jelas menekankan perlindungan lima perkara asas termasuk nyawa, agama, akal, keturunan dan harta.
"Pemindahan paksa adalah pelanggaran menyeluruh maqasid syariah," katanya.
Beliau turut mengakui wujud jurang besar dalam sistem global, termasuk kelemahan pelaksanaan undang-undang, pengaruh politik kuasa besar serta ketiadaan mekanisme penguatkuasaan yang berkesan.
Sehubungan itu, MAPIM mengemukakan beberapa cadangan termasuk mendesak siasatan bebas melalui PBB, mengaktifkan mekanisme Mahkamah Jenayah Antarabangsa serta reformasi prinsip Responsibility to Protect (R2P).
Di peringkat negara, beliau mencadangkan Malaysia memperkukuh dasar perlindungan pelarian berasaskan kemanusiaan serta memainkan peranan lebih aktif dalam platform antarabangsa seperti OIC dan ASEAN.
"Jika tiada tindakan, krisis berterusan, ketidakstabilan global meningkat
"Jika dilaksanakan perlindungan lebih efektif, pengukuhan peranan dunia Islam, pemulihan maruah manusia," katanya.
Beliau menegaskan pemindahan paksa merupakan ujian terbesar kepada sistem antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.




Comments