Pemimpin utama pembangkang PN ponteng lagi?
- Redzuan Shamsudin
- Apr 4, 2023
- 1 min read

Pemimpin utama pembangkang Perikatan Nasional (PN) seperti biasa pada pagi ini tidak kelihatan memenuhkan tempat duduk mereka ketika Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan sesi pertanyaan Perdana Menteri.
Kerusi Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Presiden Bersatu Mahiaddin Yassin dan Presiden Pas Hj Abdul Hadi Awang yang berhadapan PM kosong, begitu juga beberapa pemimpin utama pembangkang di barisan yang lebih belakang.
Mengulas hal itu, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Fadzil mempersoalkan mengapakah pemimpin pembangkang tidak menggunakan peluang di dewan untuk bertanya soalan sedangkan pada masa sama tenter siber dan penyokong PN sibuk mencaci PM dan Kerajaan Perpaduan di media sosial.
"Pagi ini YAB Datuk Seri Anwar menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China; isu vape; dan isu doktor kontrak. YAB Datuk Seri Zahid Hamidi dan YAB Datuk Seri Fadillah Yusof hadir sekali.
"Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan.
"Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri diadakan setiap Selasa. Ini peluang terbaik Pembangkang bangkitkan soalan, berdepan, dan bersemuka dengan Perdana Menteri," katanya sinis.
Untuk rekod, Mahiaddin dan Hj Hadi kerap kali ponteng sesi Dewan Rakyat sehingga mencatat rekod tersendiri dalam sesi parlimen yang lalu.
Comments