Oleh: Abdullah Zaid
Pemimpin parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan aman solidariti ke atas rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis petang tadi di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan berucap dalam perhimpunan yang membantah serangan udara besar besaran tentera Israel di Gaza yang berterusan.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi (gambar atas) yang diberi kesematan berucap menyatakan bahawa rakyat Malaysia sentiasa menzahirkan sokongan terhadap penduduk Palestin dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang mencabuli hak asasi manusia serta mencemarkan kesucian agama.
"Malaysia sentiasa menzahirkan dokongan dan sokongan penuh ke atas rakyat Palestin.
"InshaAllah kalau tidak berakhir (konflik Palestin-Israel) kita akan anjurkan himpunan yang lebih besar daripada ini," katanya berucap di Himpunan Solidariti bersama Gaza itu.
Dalam pada itu, wakil pertubuhan Amanah Angkatan Malaysia yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah menggesa masyarakat dunia mencapai kesepakatan bagi meredakan konflik Palestin-Israel yang memuncak ketika ini.
Tambahnya, solidariti ke atas rakyat Palestin bukan sahaja atas nama agama tetapi isu kemanusiaan yang mesti diambil tindakan segera.
"Tidak boleh dibayangkan bagaimana Israel mewujudkan penjara terbesar dengan 2.5 juta rakyat Palestin terperangkap sejak sekian lama.
"Malah, sikap Israel yang terus mengebom sehingga hospital dan gereja pun menjadi sasaran, ia menjadi bukti mereka tidak menghormati mana-mana agama.
"Justeru, perang ini bukanlah konflik Islam-Israel tetapi ia melibatkan isu kemanusiaan," ujar Kamarul.
Perhimpunan aman itu diadakan selepas solat Jumaat dan berakhir kira kira sejam kemudian. Kedutaan AS dikawal ketat oleh polis dan tiada demonstran yang dibenarkan berarak ke hadapan pintu masuk.
Kommentare