Pemimpin Pas pertikai setia kawan Bersatu, tiada tindakan ADUN cetus krisis
- Suara Keadilan
- 38 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Pemimpin Pas mempertikaikan sikap setia kawan Bersatu sebagai sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) apabila tidak bertindak ke atas ADUN Bersatu Perlis yang mencetuskan krisis politik di negeri itu minggu lau.
Naib Presidennya Datuk Seri Nik Amar Abdullah berkata, pihaknya berharap Bersatu mengambil tindakan tegas ke atas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dari Pas sebelum ini.
Susulan itu, beliau mempersoalkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang sepatutnya mengambil perhatian terhadap tindak-tanduk wakil-wakil rakyatnya di Perlis.
"Bagi kita kalau tiada arahan, maknanya lima orang ADUN Bersatu ini sudah melanggar mandat parti.
"Dari segi logik macam mana dia (ADUN) buat sesuatu yang tiada arahan daripada parti, sepatutnya sebagai Presiden (Muhyiddin) dia kena concern dengan isu ini," katanya kepada pemberita pada satu majlis makan malam anjuran Pas di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam.
Nik Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan mempersoalkan bagaimana tindakan lima ADUN Bersatu melakukan perkara di luar pengetahuan parti mereka sehingga tumbang kerajaan.
Justeru itu, jelas beliau, sekurang-kurangnya perlu ada tindakan diambil terhadap ADUN terbabit seperti mana dilakukan Pas terhadap tiga wakil rakyatnya di Perlis yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
"Kita sendiri rela sampai peringkat itu, kita berhentikan keahlian sebab langgar mandat parti, buat kerja dengan tidak ada pengetahuan parti dan kebenaran parti.
"Itulah yang kita harap dan minta, itu adalah makna setiakawan," kata beliau.
Bagaimanapun, Nik Amar menyatakan pihaknya menghormati keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memperkenankan pelantikan ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis yang mengangkat sumpah memegang jawatan itu di Istana Arau semalam.
Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu negeri menjadi Menteri Besar pertama daripada parti tersebut di Perlis.
Pelantikan Abu Bakar yang sebelum ini merupakan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri menamatkan pergolakan politik buat masa ini di Perlis yang tercetus sejak minggu lalu ekoran lapan ADUN menarik sokongan terhadap Shukri.
Shukri yang berdepan masalah kesihatan mengambil keputusan mengejut meletakkan jawatan Menteri Besar susulan tindakan lapan ADUN termasuk tiga dari Pas menarik sokongan terhadapnya.
Tiga ADUN Pas itu kemudian telah diberhentikan daripada parti.





