Pemimpin Pas dibuai kuasa, isu air Kelantan di takuk lama - Azan




Isu air paip berwarna 'teh tarik' di Kelantan masih terus diperdebatkan meskipun Pas telah berada dalam kerajaan pusat. Sedekad lalu, Pas berhujah isu air sengaja digunakan BN untuk mengugut rakyat negeri itu agar menolak parti Islam dalam pilihan raya.


Namun hari ini, apabila parti Islam itu telah pun berada di singgahsana kuasa, tiga pemimpinnya dilantik menteri penuh, isu air tetap tidak juga diselesaikan.


Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Terengganu, Azan Ismail, pemimpin Pas hari ini sebenarnya dalam keadaan "kekenyangan" dibuai kuasa dan kemewahan sehingga terlupa isu yang dihadapi rakyat Kelantan.


Katanya, Kerajaan Pas Kelantan ternyata gagal menyelesaikan masalah air sejak dua dekad lalu. Namun pemimpin Pas pusat yang menganggotai kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya memperjuangkan peruntukan ratusan juta ringgit bagi menaik taraf bekalan air negeri itu.


"Mereka (pemimpin Pas) nampaknya berada dalam keadaan berpuas hati setelah tiba-tiba jadi kerajaan. Semua pemimpin Pas dapat habuan masing-masing, dalam erti kata lain mereka telah "kenyang" dengan jawatan, ganjaran-ganjaran seperti elaun, lantikan GLC dan lain-lain.


"Mereka terlupa isu air. Isu bekalan air sudah berpuluh tahun, bukannya sekarang. Sepatunya bila jadi kerajaan isu ini dijadikan keutamaan pemimpin Pas membantu rakyat Kelantan.


"Bukannya fikir nak beli Mercedez, Velffire, nak jawatan itu dan ini. Sepatutnya fikir bagaimana mahu pulihkan bekalan air di Kelantan. Sampai bila rakyat negeri itu nak minum air Teh Tarik sahaja," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Oleh itu, Azan berkata, Pas menganiayai rakyat Kelantan ketika mereka duduk dalam posisi yang boleh meluluskan peruntukan khas luar belanjawan bagi membaikki insfrastruktur bekalan air Kelantan tetapi mereka tidak melakukannya.


"Dulu kerajaan Kelantan kata mereka tak ada sumber kewangan dan tuduh kerajaan pusat menindas kerana tidak beri peruntukkan tetapi kini mereka pula menindas rakyat mereka sendiri.


"Sekarang ini saya rasa pemimpin Pas sudah cukup dana untuk bantu rakyat Kelantan tetapi itu tak berlaku kerana tak ada seorang pun yang minta gaji mereka dipotong, kemewahan mereka diambil untuk dihulur kepada rakyat. Semua berlumba-lumba mahu kemewahan untuk diri sendiri.


"Jika mereka diam seribu bahasa maka sampai bila-bila pun isu air Kelantan tidak akan selesai," tambahnya.


Mengenai laporan 90% rakyat Kelantan akan menikmati air bersih pada 2030 sebagaimana diakui operator air negeri itu Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Azan tidak yakin hal tersebut akan berlaku secara sempurna berdasarkan sikap pemimpin Pas di peringkat Persekutuan hari ini.


"Ada kata tunggu lagi 10 tahun, kalau bekalan air (secara keseluruhan) mahu dibuat tak perlu tunggu lama. Sumber air di Kelantan banyak. Yang kita lihat sekarang Pas nak larikan diri dari tanggungjawab.


"Kita tengok pemimpin mereka halang media buat laporan isu air, sekarang tak ada isu nak dipertikaikan. Isu air sengaja ditutup dan mungkin ini formula Muhyiddin untuk diamkan isu ini dan rakyat Kelantan jadi mangsa," katanya lagi.


Untuk rekod, pemimpin Pas dari Kelantan dilantik memegang 2 kementerian di dalam kabinet Muhyiddin Yassin. Iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air manakala Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.



PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio