Pemimpin menyeberang perlu amal politik matang, beradab - KEADILAN Segamat
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kepimpinan KEADILAN Cabang Segamat, Johor memandang serius terhadap kemunculan parti baharu yang diterajui oleh bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurut Setiausaha Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Segamat, Ernie Yanti Mohmud (gambar), tindakan Rafizi meninggalkan parti selepas tewas dalam pemilihan dilihat seolah-olah gagal menerima keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi parti dalam Pemilihan KEADILAN 2025.
"Bagi kami, tindakan beliau meninggalkan parti selepas mengalami kekalahan dalam pemilihan memperlihatkan seolah-olah beliau gagal menerima keputusan demokrasi yang telah dibuat oleh akar umbi parti sendiri.
"Hakikatnya, kalah dan menang adalah adat dalam pertandingan. Setiap pemimpin perlu akur serta menghormati keputusan ahli parti dengan hati terbuka," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga mendakwa bahawa sepanjang kempen pemilihan lalu, Rafizi dilihat menyerang kepimpinan parti termasuk Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya memberi gambaran negatif terhadap imej kerajaan.
Tambahnya, sebagai Menteri Ekonomi pada waktu itu, Rafizi sepatutnya memberi fokus kepada usaha memperkukuh ekonomi negara yang berdepan cabaran global bukan mempolitikkan isu dalaman parti.
Ernie menegaskan bahawa politik dan pentadbiran negara adalah dua perkara berbeza yang memerlukan kematangan dalam pengendalian.
Walaupun demikian, menurut beliau, pihaknya menghormati keputusan Rafizi untuk meninggalkan parti dan mengucapkan selamat maju jaya.
"Namun, tindakan berterusan menyerang parti lama yang pernah menjadi medan perjuangan adalah keterlaluan. Jika ingin menjadi lawan politik, lawanlah secara profesional dan matang," tegurnya.
Rrni juga mempersoalkan sama ada segala persahabatan dan pengorbanan sepanjang berada dalam parti tempoh dahulu adalah telah dilupakan dan tiada nilainya lagi.
"Bagi kami di KEADILAN Cabang Segamat, perjuangan parti akan terus diperkukuhkan bersama kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Justeru, beliau menegaskan KEADILAN Segamat akan terus memperkukuh perjuangan bersama kepimpinan PM Anwar demi kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
"Lawan tetap lawan, tetapi jangan hilang adab dan prinsip perjuangan," jelasnya lagi.




Comments