top of page

Pemimpin kukuhkan perpaduan, jangan tanam kebencian agama - Suhaizan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
21 hours ago
2 min read
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat membidas kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang membandingkan pemerintahan orang Islam dengan bukan Islam yang didakwa zalim dan tidak mempunyai pegangan nilai.


Menyifatkan kenyataan seperti itu tidak wajar dalam konteks politik dan masyarakat negara terutama oleh seorang pemimpin parti yang bercita-cita mentadbir Malaysia, beliau turut mengingatkan pemimpin politik supaya perlu memahami sensitiviti masyarakat majmuk serta mengelakkan ucapan yang boleh menanam kebencian antara agama.


"Pandangan sedemikian tidak sesuai digunakan secara umum, khususnya dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama. Kebaikan atau kejahatan seseorang tidak ditentukan semata-mata oleh agamanya tetapi melalui akhlak, tindakan dan tanggungjawabnya.


"Pemimpin politik sepatutnya memperkukuh perpaduan nasional, bukannya mewujudkan jurang antara agama. Kita perlu mengangkat nilai amanah, kejujuran, keadilan dan integriti sebagai asas kepimpinan," katanya.


Menurut Suhaizan, dalam konteks Malaysia, kenyataan politik yang membanding-bandingkan kelebihan sesuatu agama hanya akan mengundang prasangka dan perpecahan dalam masyarakat.


Malah sejarah pelbagai negara menunjukkan bahawa eksploitasi sentimen agama boleh mencetuskan permusuhan, keganasan dan konflik masyarakat termasuk di negara-negara majoriti Islam.


"Kita tidak sepatutnya mengulangi kesilapan yang sama. Bayangkan terdapat dua kedai runcit. Kedai Ali dimiliki seorang Muslim tetapi menjual barang tidak berkualiti, melakukan penipuan timbang dan mempunyai premis yang kotor.


"Kedai Ah Chong pula dimiliki bukan Islam, tetapi barangannya berkualiti, timbangannya tepat dan kedainya bersih. Apakah kedai Ali lebih baik daripada kedai Ah Chong hanya kerana Ali beragama Islam? Sudah tentu tidak," katanya.


Sementara itu tegasnya, agama sepatutnya menjadi asas membina akhlak dan keadilan, bukan alasan untuk menghalalkan kelemahan atau merendahkan orang lain.


Beliau turut mengingatkan bahawa seseorang pemimpin tidak diukur hanya pada pegangan agamanya semata-mata sebaliknya pada nilai amanah dan prestasi.


"Begitu juga dalam politi, Ahli Parlimen Marang yang beragama Islam sering tidak hadir persidangan Parlimen, sedangkan Ahli Parlimen Beluran yang bukan Islam menunjukkan disiplin kehadiran.


"Jadi, adakah Ahli Parlimen Marang lebih baik dari segi tanggungjawab Parlimen hanya kerana beliau beragama Islam?" soalnya dipetik laporan media.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page