Pemimpin KEADILAN tidak bertanding PRN Sarawak demi kestabilan Kerajaan MADANI


Walaupun rayuan daripada para penyokong dan pengundi datang bertali arus, meminta dan merayu agar saya terus bertanding, saya turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan nekad demi memenuhi aspirasi rakyat Murum. Namun, saya menyedari bahawa tindakan tersebut boleh membawa implikasi besar terhadap kestabilan politik negara - Abun
Pimpinan KEADILAN Sarawak menghormati keputusan parti pada 24 November lalu untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 13 yang bermula dengan penamaan calon pada hari ini.
Menurut Senator Abun Sui Anyit, beliau salah seorang yang memutuskan untuk tidak bertanding meskipun menerima desakan berterusan daripada penyokong dan pengundi supaya beliau mempertahankan aspirasi rakyat Murum.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan implikasi politik yang lebih besar, khususnya terhadap kestabilan negara dan kelangsungan Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal.
"Walaupun rayuan daripada para penyokong dan pengundi datang bertali arus, meminta dan merayu agar saya terus bertanding, saya turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan nekad demi memenuhi aspirasi rakyat Murum.
"Namun, saya menyedari bahawa tindakan tersebut boleh membawa implikasi besar terhadap kestabilan politik negara," katanya dalam kenyataan.
Abun Sui berkata, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam dalam keadaan tersepit dan serba salah, selain menghormati keputusan KEADILAN Sarawak yang mengumumkan tidak bertanding.
Menurutnya, keputusan tersebut turut mengambil kira komitmen Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Keputusan ini diambil demi kestabilan dan kelangsungan Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal, selaras dengan komitmen YAB Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Premier Sarawak (Caretaker), untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," katanya.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang berkata, keputusan tidak bertanding itu tidak bermakna perjuangannya membela hak dan kepentingan rakyat Sarawak, khususnya penduduk Hulu Rajang, akan terhenti.
Sebaliknya, beliau akan terus menjalankan amanah sebagai senator serta bekerjasama dengan kerajaan dan wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya bagi memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan.
"Sebagai Ahli Dewan Negara, saya akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan sesiapa sahaja wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat Sarawak, khususnya di kawasan Cabang KEADILAN Hulu Rajang yang merangkumi Baleh, Belaga dan Murum, demi manfaat rakyat Sarawak amnya dan rakyat Hulu Rajang khasnya.
"Keputusan untuk tidak bertanding ini tidak bermakna perjuangan saya untuk membela hak dan kepentingan rakyat akan terhenti. Saya akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Dewan Negara," katanya.
Abun Sui turut mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon yang mengambil bahagian dalam PRN Sarawak ke-13, sambil menyeru pengundi membuat pilihan secara bijak dan rasional.
Katanya, pengundi perlu menilai calon berdasarkan rekod perkhidmatan, integriti, kemampuan serta komitmen masing-masing dan tidak terpengaruh semata-mata dengan kemeriahan suasana pilihanraya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong dan pengundi atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan, selain berharap keputusan itu dapat difahami dan dihormati semua pihak.




Comments