top of page

Menteri Dalam Negeri bantu tiga anak Kapten AA dapatkan pasport untuk ke Oman

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
24 minutes ago
2 min read
Tiga anak Allahyarham Kapten AA menerima pasport mereka petang tadi. Foto: FB Saifuddin Nasution
Tiga anak Allahyarham Kapten AA menerima pasport mereka petang tadi. Foto: FB Saifuddin Nasution

Sebak hati saya memikirkan tiga beradik ini. Dalam saat baru kehilangan ayah tersayang, mereka sedang berusaha untuk sampai ke sana bagi memberi penghormatan terakhir. Saya segera meminta pegawai saya menghubungi Saudara Saiful Nang untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menyelaras urusan pasport bersama wakil keluarga di sini - Saifuddin

Tiga anak Allahyarham Akhmal Asyraf atau Kapten AA akhirnya menerima pasport masing-masing bagi membolehkan mereka ke Oman untuk menghadiri pengebumian bapa mereka.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menerima panggilan bertalu-talu sejak pagi hari ini daripada pelbagai pihak yang memaklumkan kesukaran anak-anak Allahyarham mendapatkan dokumen perjalanan berkenaan.


Beliau berkata, selepas menerima maklumat itu, pihaknya segera mengarahkan seorang pegawai bagi menyelaraskan urusan pasport berkenaan bersama wakil keluarga.


"Sebak hati saya memikirkan tiga beradik ini. Dalam saat baru kehilangan ayah tersayang, mereka sedang berusaha untuk sampai ke sana bagi memberi penghormatan terakhir.


"Saya segera meminta pegawai saya menghubungi Saudara Saiful Nang untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menyelaras urusan pasport bersama wakil keluarga di sini," katanya dalam kenyataan.


Saifuddin berkata, usaha telah memendekkan tempoh pemproseskan pasport ketiga-tiga anak Allahyarham, Isa, Hud dan Luth yang menerima pasport masing-masing di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam petang tadi.


"Alhamdulillah, petang ini Isa, Hud dan Luth telah menerima pasport mereka di UTC Shah Alam.


"Terima kasih kepada Jabatan Imigresen Malaysia atas tindakan pantas, serta kepada semua yang membantu dan menitipkan doa," katanya.


Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta berharap urusan perjalanan ketiga-tiga anak berkenaan ke Oman dipermudahkan.


Sebelum ini, pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, meninggal dunia di Muscat, Oman pada Khamis selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.


Berita pemergian Allahyarham disahkan keluarganya menerusi hantaran di platform Threads, sebelum turut dikongsikan rakan rapatnya, Saiful Nang.


Berita pemergian itu mengundang ucapan takziah daripada rakan-rakan serta pengikut RARETV di media sosial.


Sebelum ini, beberapa laporan media termasuk TV AlHijrah dan Siakap Keli memaklumkan Akhmal berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami demam yang kemudiannya disahkan sebagai jangkitan paru-paru ketika menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027 di Oman.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page