DAP bertanding PRN Sarawak untuk wujudkan semak imbang lebih berkesan


DAP Sarawak mahu menambah bilangan wakilnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) bagi memperkukuh suara pembangkang dan memastikan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan negeri dapat dilaksanakan lebih berkesan.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, komposisi DUN ketika ini yang didominasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan kedudukan 80 berbanding dua wakil pembangkang menyebabkan suara mereka sukar mendapat ruang sewajarnya.
Beliau mendakwa, keadaan itu turut menyebabkan pembangkang berdepan kesukaran membangkitkan isu rakyat dan menyuarakan kritikan terhadap pentadbiran negeri.
"Terlalu mudah untuk mereka menenggelamkan suara kami melalui penggantungan, malah setiap ADUN hanya diberikan 20 minit untuk membahaskan isu dan membangkitkan perkara berkaitan rakyat, yang saya fikir terlalu singkat.
"Jadi saya berharap lebih ramai ADUN DAP dapat memasuki DUN supaya kami mempunyai suara yang lebih kuat serta dapat memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan," katanya dipetik Utusan Borneo .
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi N.12 Kota Sentosa di Perpustakaan Awam Kota Sentosa.
Chong yang bertanding mempertahankan kerusi berkenaan berkata, DAP tidak menetapkan sasaran jumlah undi tertentu pada PRN kali ini, sebaliknya berharap pengundi memberi peluang kepadanya untuk terus mewakili mereka di DUN.
Pada PRN kali ini DAP bertanding 14 kerusi selepas menambah dua kerusi iaitu Bawang Assan dan Senadin susulan pengumuman KEADILAN untuk tidak bertanding.
Bawang Assan diwakili calon Alice Lau dan Senadin diwakili calon Alan Ling Sie Kiong.
Manakala calon termuda DAP ialah Irene Wong Lee Ting (24 tahun) bagi DUN N.54 Pelawan.
Proses penamaan calon untuk 82 kerusi DUN selesai pagi tadi, manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Disember 2026.




Comments