Pemimpin Islam termasuk para pengikutnya perlu menunjukkan akhlak yang baik dalam gerakan 'Siyasah Syar'iyyah' atau politik.
Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang berkata jangan gunakan amalan agama seharian untuk menunjuk nunjuk sehingga individu tersebut tidak menjadi insan saleh serta akhlaknya bertentangan dengan Islam.
"Dalam amal hari hari (kita) tidak jadi saleh walau kita buat (amalan). Kalau dirikan solat tetapi tidak niat (sesungguhnya) kerana Allah, tetapi nak tunjuk kat orang. Ada dekat nak pilihanraya, dia tak pernah ke masjid pun tetapi bila dah naik jadi calon datang solat jemaah tiap hari.
"Itu termasuk perbuatan yang riak. Allah kata masuk neraka.
"Kalau tujuan duniawi, banyak kita tengok orang pergi solat, umrah. Kemudian ceramah agama, ayat Quran, hadis semua ada tetapi kenapa tak kelihatan sebagai amal saleh?
"Sehingga tidak dapat nak membentuk diri dia sendiri ikut ajaran Islam. Contoh Islam kata cakap baik baik, tetapi dia cakap tak elok. Keluar cakap yang hodoh, mengata, memfitnah tetapi solat tak tinggal, baca Quran. Sebab ciri cirinya mencari kedudukan pangkat, pengaruh. Ini jadi amal salah," katanya dalam ceramah di Seminar Tarbiyah Rahmah anjuran Amanah di Shah Alam, pagi tadi.
Ahmad dalam pada itu menasihatkan kepada umat Islam Malaysia, terutamanya dalam gerakan siyasah agar tidak mudah memanggil seseorang dengan gelar Tok Guru.
Katanya, beliau takut apabila digelar Tok Guru kerana tanggungjawab besar di belakangnya terutama dari segi akhlak dan kepimpinan.
"Saya takut orang panggil Tok Guru. Dalam konteks Malaysia ini kalau sebut Tok Guru dekat dekat nak jadi Nabi. Cakap dia mesti semua betul. Walaupun salah, jangan kata salah.
"Saya teringat almarhum ust Fadzil (bekas Presiden Pas) bila orang nak panggil Tok Guru (ditengah) 'aku ustaz sahaja'.
"Ustaz tak apa kerana ustaz ramai. Tok Guru pilihan. Nanti datang ujub. Mesti disambut. Kalau nak pergi mana mana perlu diiring 2 - 3 kereta. Itu belum jadi Perdana Menteri lagi. Yang ini kita takut.
"Tetapi ada Tok Guru yang betul betul tok guru. Kereta dia ada seorang sahaja polis jaga, tak ada yang lain. Itu dia Tok Guru Nik Aziz (bekas Menteri Besar Kelantan, mantan Mursyidul Am Pas). Itu tok guru betul," katanya lagi.
Ahmad sebelum ini sering mengkritik sikap para pemimpin Pas, parti yang ditinggalkannya pada 2016 sebagai tidak lagi berjuang mengutamakan agama Islam.
Pas katanya, tidak lagi sama sebagaimana era kepimpinan ulama Datuk Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.
コメント