top of page

Tuntutan MA63 perlu seiring tanggungjawab bangun negara - Mustapha

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Tuntutan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab untuk membangunkan negara yang maju dan harmoni.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, walaupun pelaksanaan hak di bawah MA63 penting untuk dituntut, ia tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama membangunkan negara secara menyeluruh.


"Jadi, dalam kita memperjuangkan hak, jangan sesekali kita lupa, kita ada tanggungjawab untuk bina negara ini, sebab akhirnya kita akan wariskan satu negara yang harmoni untuk generasi pelapis.


"Saya fikir ini juga antara agenda yang akan saya tekankan dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan dengan MA63," katanya dipetik.


Mustapha yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Sabah berkata demikian dalam satu temu bual khas bersama Bernama.


Sementara itu, sebagai mengulas isu pembangunan infrastruktur asas di Sabah yang sering dikaitkan dengan isu MA63, Mustapha berkata beliau akan terlibat dalam jawatankuasa khas bagi memantau projek sakit di Sabah dan Sarawak untuk memastikan pelaksanaannya dapat dipercepat.


Tambahnya, isu infrastruktur asas di Sabah dan Sarawak terutama melibatkan bekalan air, elektrik serta jalan raya diberi perhatian dan pelaksanaannya mesti telus bagi membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan serius mengatasi masalah itu.


"Saya tidak mahu kita berjuang menuntut MA63, termasuk memperoleh 40 peratus hasil dan hak-hak lain kelak, tetapi akhirnya jalan raya masih berlubang dan sekolah masih daif.


"Ketika itu, jangan salahkan rakyat jika mereka mempersoalkan apa gunanya perjuangan MA63 sekiranya kita tidak mampu menyelesaikan masalah infrastruktur asas yang diperlukan rakyat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page