Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Pahang, Fuziah Salleh bersama barisan kepimpinan negeri terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, KEADILAN Pahang menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong yang telah melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang ke-9 pada 21 Ogos 2021 dan menghormati pelantikan tersebut yang dibuat menurut lunas-lunas perlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen raja berperlembagaan serta mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
"Kami akan terus kekal menyokong kepimpinan Anwar sebagai Presiden KEADILAN dan Pengerusi Pakatan Harapan, yang sentiasa cekal dalam perjuangan walaupun diduga dengan pelbagai ujian selama ini.
"Keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan kenegarawanan beliau jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang.
"Kami yakin ciri-ciri ini penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Katanya, KEADILAN Pahang akan meneruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan institusi negara tanpa bertolak ansur tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"Dengan keadaan rakyat yang susah sekarang tanpa sara hidup, pendapatan yang tetap serta ekonomi yang tidak menentu maka lebih-lebih lagi agenda tersebut wajib dikukuhkan.
"Kami mendoakan semoga kesihatan rakyat terus terjaga tanpa diabaikan meskipun berlaku kekusutan politik dan negara dapat kembali bangkit daripada krisis kesihatan serta ekonomi dengan pemerintahan yang betul.
"Kami menyeru saf kepimpinan, anggota parti dan akar umbi untuk terus memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada kepimpinan Presiden dan prinsip yang diperjuangkan," katanya.
Justeru, KEADILAN Pahang menggesa pemimpin dan anggota parti untuk terus mengukuhkan parti dan memantap penyusunan serta gerak kerja parti ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dimenangi dalam PRU-14.
"Ayuh kita bersama meneruskan dan melibatkan gandakan kerja keņa khidmat kepada rakyat diluar sana yang sangat memerlukan khidmat dan sokongan kita buat masa ini disamping menyebarluaskan mesej KEADILAN untuk semua," katanya.
Comments