
Pemilik tanah persendirian di Negeri Sembilan perlu bertanggungjawab dan mengambil perhatian dengan apa yang berlaku di kawasan masing-masing.
Peringatan itu dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai mengulas serbuan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) terhadap penempatan haram di Nilai Spring baru-baru ini.
Tegasnya, pemilik tanah tidak sepatutnya menggunakan alasan tidak tahu mengenai perkara yang berlaku terutama melibatkan aktiviti haram atas tanah milik mereka.
"Kita perlu bertanggungjawab dan tidak boleh membiarkan harta atau tanah digunakan oleh pihak lain dengan alasan kita tidak tahu sedangkan perkara itu sepatutnya diberi perhatian.
"Saya yakin tanah tersebut hendak dibangunkan dan mereka tahu apa yang berlaku pada kawasan itu. Saya berharap perkara ini tidak berulang lagi," kata ADUN Sikamat itu dipetik selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri.
Pada 1 Feb lalu, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) melakukan serbuan terhadap perkampungan haram pendatang tanpa izin di Nilai Spring yang dibina atas tanah milik persendirian.
Perkampungan haram itu yang berkeluasan kira-kira 0.6 hektar atau sebesar tiga padang bola dikelilingi hutan tebal dengan jalan masuk tanah merah itu mempunyai sekitar 30 unit rumah dan menggunakan generator sebagai alat mendapatkan bekalan elektrik.
Penempatan yang boleh diduduki sekitar 80 hingga 100 penduduk itu turut dilengkapi kemudahan sekolah dengan silibus tersendiri selain kemudahan lain seperti kedai runcit.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, berkata pintu masuk penempatan itu dipasang beberapa tayar kereta yang berpaku selain terdapat beberapa ekor anjing liar yang dibela berkeliaran di kawasan terbabit dipercayai digunakan sebagai pengawal di penempatan berkenaan.
Beliau juga berkata, penduduk penempatan terbabit dikenal pasti warga Indonesia yang dilihat sangat agresif.
Sementara itu, Aminuddin ketika mengulas lanjut mengenai pembinaan penempatan secara haram itu menegaskan bahawa pihak kerajaan negeri sentiasa mengambil serius perkara itu walaupun bidang kuasa terletak di peringkat lebih tinggi.
Comments