Berita yang tersebar di media sosial mendakwa 53 Cabang KEADLAN akan mengadakan pemilihan semula adalah palsu.
Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan KEADILAN, Dr Zaliha Mustafa.
Katanya, beliau yang mengendalikan proses pemilihan itu sendiri pun tidak tahu wujudnya pemilihan semula.
"Sejak beberapa hari ini saya telah menerima banyak panggilan dan pesanan ringkas dari anggota KEADILAN dan rakan media bertanyakan berkenaan 53 Cabang KEADILAN yang akan berdepan dengan pemilihan semula dalam masa yang terdekat.
"Saya ingin menyangkal dan menegaskan bahawa berita tersebut adalah palsu.
"Ia adalah rentetan dari sebuah “posting” di ruang media sosial yang saya sifatkan tidak bertanggungjawab dan sengaja dikeluarkan atas tujuan provokasi.
"Adalah mustahil saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat KEADILAN tidak dimaklumkan telebih dahulu dari Pejabat Setiausaha Agung jika benar ada surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysian (ROS) berkenaan hal (pemilihan semula) tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha juga mengesahkan beliau berada dalam jawatankuasa yang menguruskan mengenai beberapa hal yang ditimbulkan oleh ROS berkaitan pemilihan parti baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau meminta anggota KEADILAN bertenang dan tidak mempercayai berita palsu yang direkayasa di media sosial.
"Saya mohon anggota KEADILAN bertenang, tidak bertindak dengan sebarang spekulasi dan dinasihatkan untuk hanya menerima berita dari sumber yang sahih.
"Selepas keputusan rasmi dikeluarkan dan Kongres Nasional KEADILAN berlaku dengan lancar pada pertengahan Julai lepas, rata-rata anggota telah menerimanya (keputusan pemilihan) dan meneruskan seperti mana kehendak Presiden dan pimpinan," katanya.
Justeru, beliau menasihat anggota parti agar menumpukan gerak kerja di lapangan dalam persediaan berdepan dengan Pilihan Raya Umum yang ke-15 daripada membicarakan soal pemilihan semula atau hal hal berkaitan pemilihan yang telah berlalu itu.
Comentarios