
Pemilihan KEADILAN 2022 yang berlangsung hampir kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 boleh menjadi raptai kepada pilihan raya.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai, semangat bekerja dalam memenangkan pasukan sepanjang pemilihan itu perlu dikekal dan diperhebatkan lagi untuk memenangkan calon KEADILAN dalam PRU yang mungkin pada hujung tahun ini atau awal 2023.
Beliau berkata demikian dalam majlis penghargaan kepada penyokong #YakiniRakyat Wangsa Maju, kelmarin.
"Atas sokongan semua pasukan Yakini Rakyat menang di Wangsa Maju dengan majoriti selesa. Sekiranya PRU diadakan tidak lama lagi, pemilihan kali ini menjadi raptai untuk pilihan raya.
"Saya boleh merasakan semangat berkobar-kobar dari kalangan akar umbi dalam menghadapi PRU kali ini,” katanya.
Dalam majlis itu juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew turut berucap dan mengulas mengenai isu khemah besar yang banyak dimainkan pada sepanjang kempen Pemilihan.

Beliau menegaskan tiada jalan pintas untuk menang dan KEADILAN perlu berusaha keras bersama Pakatan Harapan untuk menang dalam PRU 15.
"Isu khemah besar atau penggabungan kuasa politik telah menjadi buah mulut masyarakat hari ini.
"Saya percaya tidak ada jalan pintas sekiranya ingin berjaya. Pastikan KEADILAN bersifat proaktif dalam mendapatkan formula untuk menumpaskan pihak lawan dalam PRU akan datang," katanya.
Sebanyak 3 majlis menghargai penyokong telah dianjurkan di Teratai Mewah (Jalan 3/23F, berdekatan Kuil Shri Siva Kaliamman), Prima Setapak (sebelah Tokong Luck Ong Keong) dan Jalan Gombak (Pejabat Ketua Kampung Bandar Dalam). Semua majlis itu mendapat sambutan baik ahli-ahli parti dan pengundi Wangsa Maju.
Dalam keputusan tidak rasmi Pemilihan, Andre Lai telah dipilih semula sebagai Ketua Cabang Wangsa Maju.
Beliau sebelum ini pernah menewaskan mantan Ketua Cabang Datuk Dr Tan Kee Kwong pada Pemilihan 2018 lalu.