Pemilihan KEADILAN: Lakukan dalam suasana kekeluargaan, elak perpecahan
- Suara Keadilan
- Mar 2
- 1 min read

Pemilihan KEADILAN yang berlangsung dari 14 Mac hingga 3 Mei ini di peringkat Cabang hingga ke jawatan tertinggi perlu dilakukan dalam suasana harmoni.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin berkata, tidak seharusnya berlaku kempen yang menegangkan sehingga berlaku perpecahan, lebih lebih lagi semua anggota mahu mempertahankan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal sebagai Perdana Menteri sepenggal lagi yang memerlukan perpaduan mantap di semua peringkat.
"Saya berharap pemilihan kali ini diadakan dalam suasana kekeluargaan bagi mengelak perpecahan, apatah lagi Sabah bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung seawal Julai tahun ini.
"Saya juga memohon sokongan dan dokongan rakan-rakan anggota parti yang bersama-sama saya terus memperjuangkan agenda reformasi.
"Dan bagi merealisasikan agenda reformasi yang sedang diusahakan kerajaan Madani, kita perlu memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal sebagai Perdana Menteri buat penggal kedua dengan parti KEADILAN yang lebih kuat," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Cabang KEADILAN Tuaran, Sabah itu juga mengumumkan akan bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan kali ini.
"Mengambil maklum pandangan dari akar umbi parti serta rakan-rakan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, saya menawarkan diri untuk bertanding dalam Pemilihan KEADILAN 2025 bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN bagi sesi 2025-2028," katanya lagi.
KEADILAN akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan selepas selesai pemilihan di peringkat Cabang.
Comments