Pemilihan KEADILAN: Kemenangan banyak pimpinan Borneo kukuhkan parti
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Meskipun tewas sebagai calon Naib Presiden KEADILAN pada Pemilihan KEADILAN 2025, Senator Abun Sui Anyit tetap gembira menyaksikan pemimpin dari Sabah dan Sarawak terpilih mengisi barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2025-2028.
Susulan kemenangan rakan-rakannya itu, Abun yang merupakan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, merakamkan ucapan terima kasih kepada perwakilan yang mengundi.
"Ini sangat bersesuaian dengan kempen saya agar calon dari Borneo dibawa masuk ke peringkat pusat sebagai parti nasional. Sekurang-kurangnya perwakilan memahami dan menyahut mesej kempen saya iaitu KEADILAN untuk semua termasuk di Borneo.
"Mari kita sama-sama bergerak ke depan dan bertaut kembali dengan satu satu wadah 'KITA KEADILAN' untuk perkuatkan parti dengan cara masing-masing.
"Kita hentikan serangan terhadap kepimpinan di semua peringkat. Mari kita bersatu semula memantapkan cabang masing-masing," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Abun berkata, beliau mendapat pengalaman yang berharga sebagai calon naib presiden pada pemilihan kali ini.
Walaupun tewas, katanya, beliau sangat menghargai undi yang telah diberikan iaitu 1,545 undi.
"Kalau boleh saya hendak ucapkan terima kasih kepada setiap pengundi.
"Apakan daya saya, sekadar mampu ucapkan terima kasih secara umum. Semoga Tuhan sahaja membalas jasa anda semua.
"Sebagai anggota KEADILAN, mari kita sama-sama membantu parti dan bakal calon dalam mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi," ujar beliau.
Dalam Pemilihan 2025 terdapat beebrapa calon dari Borneo yang menang dan menganggotai kepimpinan pusat seperti Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Abang Zulkifli Abang Engkeh; Naib Ketua Wanita, Datin Rufinah Pengeran; Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat, Siti Norffinie Mohamed Yassin, Nur Jafni Abdullah, Junaidah Makku, Victoria Anak Musa; Naib Ketua AMK Pusat, Chiew Choon Man; dan Majlis Pimpinan AMK Pusat, Mohd Guntur Sangkar.