Pemilihan KEADILAN: Dr Sathia pemimpin ke-8 umum bertanding Naib Presiden
- Suara Keadilan

- Mar 29, 2025
- 1 min read

Ketua KEADILAN Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menawarkan diri untuk merebut kerusi Naib Presiden pada pemilihan parti itu.
Beliau berkata, keputusan untuk bertanding jawatan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakan-rakan dan pemimpin dalam parti itu.
Menerusi satu kenyataan pada Jumaat beliau yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN berkata, beliau berhasrat memastikan peningkatan penyertaan pengundi muda dan profesional ke dalam parti itu.
"Saya akan memastikan suara ahli akar umbi lebih didengari dalam membuat keputusan parti, serta memastikan setiap ahli diberi peluang untuk menyumbang kepada perjuangan parti, sekali gus mengembalikan kekuatan KEADILAN sebagai parti dominan dalam politik Malaysia.
"Saya juga mahu memastikan PKR bukan sekadar parti dalam gabungan tetapi menjadi parti yang menerajui perubahan di Malaysia, dengan dasar lebih jelas, kuat, dan mampu menawan hati rakyat di semua peringkat," katanya dipetik.
Sehubungan itu Dr Sathia turut mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Pengarah Kongres Nasional KEADILAN 2025, berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak sebarang percanggahan kepentingan dan memastikan ketelusan serta keadilan dalam proses perjalanan kongres.
"Saya yakin pihak kepimpinan parti akan melantik individu yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab ini bagi memastikan kelancaran kongres," tambahnya.
Sebelum ini empat penyandang jawatan itu iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang mengesahkan ke persaingan bagi jawatan tersebut.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Penerangan KEADILAN yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut telah mengumumkan akan merebut jawatan itu.




Comments