Pemilihan KEADILAN 2025 pertarungan rakan-rakan setia - Anwar
- Suara Keadilan

- May 12
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua calon bagi Pemilihan KEADILAN 2025 menganggap proses itu sebagai 'pertarungan antara rakan-rakan setia' dalam parti.
Justeru katanya, semua calon berkenaan harus disantuni dengan baik supaya semangat persaudaraan dalam kalangan ahli parti kekal utuh.
Manakala penyokong kepada pihak yang bertanding diingatkan untuk tidak 'terlajak' (berlebihan) kerana ia boleh mengeruhkan keadaan.
"Pemilihan ini antara rakan-rakan setia, yang banyak (daripadanya) tokoh reformasi. Oleh itu, kita kena jaga supaya tidak terlanjur kerana kita mahukan (pemilihan ini) untuk kita rangkul sebagai satu kekuatan," katanya dipetik ketika ditemui pemberita di Tawau pada Ahad.
Terdahulu Anwar yang juga Presiden KEADILAN mengadakan perjumpaan tertutup bersama Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Sabah.
Proses pencalonan pemilihan parti yang berakhir Jumaat lalu menyaksikan Anwar tidak dicabar bagi jawatan Presiden manakala bagi jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan antara Nurul Izzah Anwar penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.
Bagi jawatan Naib Presiden, 12 ahli sudah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor).
Sementara itu Anwar menyatakan harapan agar ikatan persaudaraan sesama anggota KEADILAN dapat diperkukuh semula selepas berakhir proses pemilihan.
"Selesai sahaja Kongres, kita harus bekerja sebagai satu pasukan yang padu," katanya.









Comments