top of page

Diskaun tol 50% sempena Aidilfitri, kurang kos sambut lebaran

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Kerajaan mengumumkan beberapa langkah untuk meringankan beban rakyat dalam menyambut Aidilfitri
Kerajaan mengumumkan beberapa langkah untuk meringankan beban rakyat dalam menyambut Aidilfitri

Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Hari Raya Aidilfitri sebagai antara langkah dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dengan mengambil kira keperluan rakyat yang bakal pulang ke kampung halaman menjelang lebaran.


"Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan untuk memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman," katanya dalam kenyataan hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, pelaksanaan diskaun tersebut melibatkan tanggungan kewangan sebanyak RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.


"Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026, melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA)," katanya lagi.


Dalam kenyataan sama, Anwar menegaskan bahawa langkah tersebut bukan bersifat terpencil, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pendekatan komprehensif kerajaan dalam melindungi kebajikan rakyat ketika ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan.


"Tatkala ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan, Kerajaan MADANI mengambil pendirian tegas untuk terus melindungi kebajikan rakyat, khususnya sepanjang Ramadan dan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya.


Beliau turut menekankan bahawa segala usaha yang dilaksanakan mencerminkan nilai teras pentadbiran kerajaan.


"Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama," ujarnya.


Anwar turut menyenaraikan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi meringankan beban rakyat sepanjang musim perayaan.


Antaranya termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026 serta bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada 10 Mac 2026 yang memanfaatkan 5.2 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion.


Selain itu, kerajaan turut menyalurkan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran termasuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir.


Dalam usaha membantu golongan pelajar, kerajaan juga memperluaskan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada pelbagai institusi pengajian tinggi.


Bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga barangan, hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI dilaksanakan sepanjang Ramadan, di samping penguatkuasaan larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing.


Kerajaan MADANI menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia juga memperkenalkan mekanisme pelepasan kebankrapan secara “fast track” yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal.


Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat agar terus berbelanja secara berhemah dalam suasana ekonomi yang masih tidak menentu.


"Dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu, semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan," katanya.


Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia.


"Mewakili seluruh jentera Kerajaan MADANI, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia.


"Semoga Aidilfitri disambut dalam suasana aman dan penuh kesyukuran bersama keluarga serta insan tersayang," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page