Pemilihan KEADILAN 2022: Pencalonan peringkat Cabang bermula, tamat Ahad
- Redzuan Shamsudin
- Apr 8, 2022
- 2 min read

Pencalonan jawatan peringkat Cabang KEADILAN bermula hari ini dan diteruskan pada 9 dan 10 April ini.
Calon calon boleh mencalonkan diri masing masing, sama ada melalui aplikasi ADIL atau pergi melakukannya di pejabat yang ditetapkan di setiap negeri.
Dalam tinjauan Suara Keadilan di pusat pencalonan Pejabat Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan hari ini, terdapat beberapa calon yang hadir untuk mencalonkan diri.
Menurut Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi Wilayah Persekutuan, Osman Karim, proses pencalonan di pejabat di Taman Pelangi itu dilakukan untuk keseluruhan Wilayah Persekutuan.
"Wilayah ada 12 Cabang dan mana mana calon yang memerlukan bantuan untuk mencalonkan diri mereka dalam proses pencalonan ini maka boleh datang ke pejabat MPN Wilayah Persekutuan di Sentul supaya kita dapat membantu proses pencalonan untuk dihantar ke ibu pejabat
"Kita beroperasi dari hari ini bersambung 9 dan berakhir pada 10 April. Kita ada 6 orang petugas dan 3 pengawas membantu calon calon yang tidak mempunyai kepakaran teknik untuk membuat pencalonan secara bersendirian.
"Kita masih menggalakkan calon calon terus membuat pencalonan atas talian di tempat masing masing supaya tidak membebankan mereka atau terlalu ramai datang ke sini.
"Kita ada 3 pengawas yang dipilih oleh JPP dan 5 petugas dipilih MPN," katanya.

Manakala pembayaran yuran pencalonan perlu dibuat melalui perbankan atas talian.
"Mereka terpaksa membuat pembayaran melalui perbankan atas talian.
"Setiap jawatan mempunyai yuran tersendiri. Setiap pencalonan perlu bayar yuran (jawatan ditandingi) dan yuran keahlian RM2," katanya lagi.
Dalam pada itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa, selepas proses pencalonan selesai maka senarai calon akan dipaparkan di aplikasi dan laman sesawang ADIL sebelum tempoh bantahan dibuka selama dua hari, iaitu pada 13 dan 14 April.

Diikuti pemakluman bantahan pada 15 April, manakala tempoh rayuan bermula 16 hingga 18 April sebelum senarai muktamad calon dipamerkan pada 19 April.
"Bagi proses pengundian, ia akan dilaksanakan secara hibrid iaitu pada 13 hingga 17 Mei secara fizikal manakala pada 18 hingga 20 Mei secara dalam talian.
"Pengundian secara fizikal akan dilaksanakan di pusat pengundian yang disediakan di Cabang masing-masing iaitu satu Cabang membuka sekurang-kurangnya satu pusat pengundian, tertakluk kepada permintaan Majlis Pimpinan Negeri (MPN)," katanya dipetik Bernama.
Comentarios