
Pemilihan KEADILAN 2022 amat memerlukan calon terbaik diangkat sebagai nakhoda melawan BN dan PN menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut Ketua Cabang Rompin, Jamaludin Masri, pemilihan 2018 lalu seharusnya menjadi pengajaran kepada anggota apabila memilih calon berdasarkan cai dan ada di antara mereka yang tidak berprestasi dalam membuat kerja kerja kepartian mahu pun pilihan raya.
"Saya mahu lihat yang menang kali ini betul betul buat kerja. Yang kalah pula jangan tinggalkan kerja.
"Pemilihan 2018 telah jadi pengajaran bagi kita. Kali ini kita mahu orang boleh menangkan kita.
"Kita mahu calon yang berkemampuan bukan kerana kawan. Seperti 2018, kerana kawan kita pilih.
"Maka binasa parti. Kita nak yang ada kemampuan. Kita mahu pemimpin kita pimpin rakyat, supaya rakyat dapat nikmat daripada perjuangan," katanya dalam forum yang dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan KEADILAN pusat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, malam tadi.
Bagi Jamaludin, banyak calon berkualiti yang boleh dipilih dalam pemilihan ini. Misalnya dari Pahang, seperti Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang 3 kali menang sebagai wakil rakyat pembangkang di kawasan kubu BN. Atau pun calon calon lain yang progresif dan boleh berkerja dengan baik.
Ditanya mengenai persiapan menuju PRU di Pahang, Jamaludin berkata, KEADILAN sejak sekian lama seolah olah kurang bersedia apabila turun ke kubu BN di negeri itu.
Katanya, kebanyakan isu nasional tidak 'dimakan' pengundi luar bandar. Misalnya isu kenaikan harga minyak, ayam dan sebagainya kurang menyentuh warga Pahang yang kebanyakannya terdiri dari peneroka Felda, petani dan nelayan.
Tegas beliau, KEADILAN perlu datang dengan strategi khusus sekiranya mahu menang di kawasan seperti itu yang menjadi sebahagian besar daripada kawasan kawasan parlimen di Pahang.
"Pandagan saya berdasarkan analisis, pengundi Rompin inginkan peluang pekerjaan luas. Ramai anak muda bawah 40 tahun tak ada kerja. Berniaga pun tidak memuaskan. Kita perlu cari kaedah, kajian yang terbaik kerana anak muda ini sumber undi.
"KEADILAN perlu memikirkan satu cara bagaimana nak naik taraf kehidupan. Misalnya 60% pengundi Rompin warga Felda. Kalau nak kempen isu harga ayam naik, minyak naik, tol percuma orang Rompin tak masuk. Pemikiran mereka harga sawit. Harga sawit naik capai RM1,600 setan hari ini membuat mereka gembira.
"Sedangkan ini hasil kerja keras kerajaan PH dahulu. Orang lihat ini hasil kerajaan sekarang, sebenarnya tidak. Sekarang penerangan itu yang perlu kita terangkan kepada warga Felda.
"Sebab mereka hanya tahu BN perintah harga sawit tinggi," katanya lagi.