Pemilihan KEADILAN 2022 mencatat rekod tersendiri apabila kira kira 11,000 pencalonan diterima untuk semua peringkat jawatan parti, suatu rekod yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr Zaliha Mustafa, nama nama yang menawarkan diri untuk bertanding tersebut telah melalui proses bantahan, rayuan dan dimuktamadkan.
"Kita telah selesai beberapa perkara dalam fasa pemilihan kali ini.
"Sebagaimana semua tahu kita selesai salah satu komponen penting dalam pemilihan. Pencalonan telah selesai 12 April, nama nama telah kita perolehi dalam pencalonan sehingga 12 April.
"Nama nama itu kemudian telah menerima proses bantahan dan rayuan dan akhirnya ada 11,282 nama dalam senarai dimuktamadkan, sebagai calon yang akan bertanding di pelbagai peringkat
"Selangor paling banyak pendaftaran calon dalam pemilihan kali ini," katanya dalam temubual khas bersama Suara Keadilan, tengah hari tadi.
Manakala bagi Pengundi Atas Talian (PAT) yang diperkenalkan pada tahun ini, kata Dr Zaliha, terdapat lebih 96,000 anggota telah mendaftar untuk menjadi pengundi.
Jumlah itu, katanya amat membanggakan kerana JPP sebelum ini mensasarkan 100,000 akan mendaftar PAT.
"PAT kita buka pendaftaran 28 Februari dan semalam hari terakhir bagi mana mana anggota yang mahu menjadi sebahagian pemilih PAT
"Setakat semalam kita menerima sehingga 96,983 permohonan dan telah lulus lebih 66,000. Walaupun kita tutup (pendaftaran) tetapi yang penting untuk melakukan verifikasi. Sebelum Hari Raya kita selesaikan pending.
"Dalam sesi sebelum ini target kita 100,000 tetapi kita hampir mencapainya. Ini angka yang patut dibanggakan kerana pertama kali ada PAT. Yang menarik lagi kita terima pendaftaran dari anggota yang menetap di luar negara. Dari Singapura, Australia, Brunei dan negara lain.
"Ini juga pencapaian yang harus dibangga oleh KEADILAN," katanya.
Seterusnya, menurut Pengerusi JPP itu lagi, selepas ini pihaknya akan menjalankan persediaan untuk melaksanakan proses pengundian secara fizikal yang dijadual bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Sekarang JPP sudah mulakan persediaan pemilihan fizikal (untuk pengundian) selepas hari raya. Tarikh kita ubah sedikit atas permintaan negeri.
"Kita akan buat (undi) fizikal, (undi) online dan fizikal semula kerana banyak negeri minta buat (pengundian) hujung minggu," katanya lagi.
Comentários