Pemilihan 2025: Pimpinan Sarawak diiktiraf dalam kepimpinan pusat - Abang Zulkifli
- Suara Keadilan
- May 25
- 2 min read

Keputusan Pemilihan KEADILAN 2025 peringkat kepimpinan tinggi parti yang baharu selesai menunjukkan pengaruh signifikan pemimpin pemimpin dari Sarawak.
Bagi ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Abang Zulkifli Abang Engkeh, kemenangan beberapa pemimpin dari Sarawak dalam sayap pemuda, wanita dan MPP menunjukkan parti mengiktiraf sumbangan para pemimpin KEADILAN dari Bumi Kenyalang.
"Kemenangan saya dalam Jawatankuasa Induk Majlis Pimpinan Pusat, YB Chiew Choon Man sebagai Naib Angkatan Muda Keadilan serta Nuf Jefni Abdullah dan Puan Victotia Musa sebagai Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat melambangkan keutuhan perhubungan antara anggota dalam tiga Wilayah, Sabah, Sarawak dan Semenanjung kian terjalin erat.
"Para pengundi yang mengangkat kemenangan ini terdiri dari anggota dari tiga wilayah tersebut.
"Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua perwakilan. Sesungguhnya kemenangan ini merupakan amanah yang perlu digalas, bukan hanya memeggang jawatan," katanya dalam kenyataan.
Menurut Abang Zulkifli lagi, beliau akan menggunakan pengalaman selama dua dekad untuk memperkukuh gerak kerja dan perpaduan parti terutama di Sarawak.
"Dengan pengalaman dan pengetahuan sejak bergerak aktif melebihi 25 tahun dalam parti ini, saya percaya akan dapat digunakan bagi membantu presiden untuk mengukuhkan kedudukan KEADILAN, khasnya di Sarawak.
"Sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat, saya akan berperanan sebagai anggota yang akan mengukuhkan "kerja berpasukan" dalam majlis pimpinan. Begitu juga halnya di peringkat negeri, kerja berpasukan yang sedia ada akan terus diperkukuhkan," ujarnya.
Beliau juga mengharapkan kemenangan berkenaan akan menjadi jambatan penghubung politik damai antara KEADILAN dan Gabungan Parti Sarawak, terutama dalam merealisasikan Perjanjian Malaysia (MA63).
"Hak MA63 itu satu perkara, hubungan politik itu satu hal yang perlu dipertimbangkan oleh semua pemeggang taruh yang akhirnya akan memberi impak positif kepada negara serta wilayah dengan adil dan saksama.
"Justeru saya berpendapat semua pihak perlu berlapang dada bagi menerima keberadaan antara satu dengan yang lain," katanya.
Selain itu, Abang Zulkifli bertekad akan menyumbang tenaga berkempen dalam mana-mana pilihanraya juga Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Beliau turut menyeru kepada semua anggota KEADILAN untuk terus bersatu, lupakan ribut dalam 'secawan kopi' yang berlaku semasa pemilihan. Hal itu, katanya, adalah lumrah dan merupakan cabaran serta motivasi untuk mengukuhkan parti.
Comments