Pemilihan 2025: Calon perlu lebih berani, telus dekat dengan rakyat - Sekpur
- Suara Keadilan
- 46 minutes ago
- 2 min read

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur), suatu gabungan penggiat siber mendukung Kerajaan Perpaduan mahu Pemilihan KEADILAN 2025 yang sedang rancak ketika ini berjalan dalam suasana yang harmoni, telus dan demokratik.
Hal itu dinyatakan dalam sidang media Sekpur petang tadi di Kuala Lumpur.
Menurut Pengerusi Sekpur, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, gabungan itu menyuarakan harapan dan keinginan rakyat Malaysia berkaitan Pemilihan KEADILAN sesi 2025-2028.
Katanya, sebagai parti teras dalam Kerajaan Perpaduan, KEADILAN perlu mengenengahkan pemimpin yang benar benar pro rakyat bagi menjadikan agenda Kerajaan Madani berkesan.

"Pemimpin KEADILAN 2025-2028 perlu lebih berani, lebih telus, dan lebih dekat dengan rakyat. Bukannya sekadar menyambung status quo," katanya.
Tegas Mustapa Mansor, pemilihan kali ini perlu memastikan proses yang adil, demokratik, dan bebas dari sebarang manipulasi, "party hopping" atau politik wang.
Khusus bagi calon untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula, ujar beliau, pemimpin seharusnya bebas dari skandal rasuah, penyalahgunaan kuasa atau rekod perkauman.
Katanya, kepimpinan KEADILAN perlu dilantik dalam kalangan yang mengutamakan kemaslahatan hidup rakyat marhaen.
"Pemimpin KEADILAN perlu prioritikan isu kos sara hidup, perumahan mampu milik, dan peluang pekerjaan.
"Juga tegas dalam memperjuangkan keadilan sosial untuk semua kaum, bukan sekadar retorik," ujarnya.
Sekpur, kata Mustapa, ingin melihat lebih banyak pemimpin yang pro-rakyat, progresif dan berani mengkritik dilahirkan.
Selain itu, pimpinan juga perlu mempunyai jiwa reformasi yang kental biarpun menganggotai KEADILAN selepas era 1998.
"KEADILAN tidak boleh alpa dari misi asal iaitu memperjuangkan demokrasi, kebebasan media, dan keadilan institusi.
"Kami menyeru semua perwakilan KEADILAN agar mengutamakan masa depan Malaysia dalam membuat pilihan," katanya lagi.
Sekpur turut membariskan beberapa pemimpin yang mereka nilai mempunyai kewibawaan untuk dipilih bagi jawatan MPP, termasuklah Mustapa Mansor, Datuk Fahmi Fadzil, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman (Altimet), Raiyan Abdul Rahim, Yahya Sahri, Datuk Dr Sangkar Rasam, Abang Zulkifli Abang Engkeh, Adam Adli dan sebagainya.