Pemilihan 2025: Aduan diteliti selepas pengundian cabang selesai
- Suara Keadilan

- Apr 16
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan meneliti semua bantahan berkaitan keputusan Pemilihan KEADILAN 2025 selepas proses pengundian di peringkat cabang selesai.
Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap bantahan yang dikemukakan dan akan menyemaknya secara menyeluruh bersama pembangun sistem serta juruaudit yang dilantik.
"Keputusan terhadap semua bantahan akan diumumkan selepas proses pengundian peringkat cabang selesai sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan.
Fasa pertama pemilihan melibatkan pengundian di peringkat cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita di tujuh negeri iaitu Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak dilaksana pada 11 hingga 13 April.
Bagaimanapun, beberapa calon kemudian tampil membantah keputusan pemilihan yang diumumkan.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa terdapat penemuan pelik yang menimbulkan kemusykilan pada pengundian kali ini.
Sehubungan itu beliau menggesa agar pemilihan peringkat cabang lain ditangguhkan.
Sementara itu Dr Zaliha memaklumkan, jawatankuasa itu kini dalam persiapan untuk fasa dua pengundian melibatkan Kelantan, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Sabah bermula 18 hingga 20 April ini.
Oleh itu beliau mengingatkan ahli parti yang akan mengundi agar memuat turun atau mengemas kini aplikasi mudah alih ADIL kepada versi terkini bagi melancarkan proses pengundian.









Comments