Pemikiran geopolitik PMX terbaik, Presiden AS selesa berbincang
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mempelawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menaiki kenderaan rasmi Presiden Amerika yang terkenal dengan gelaran The Beast, menuju ke lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 lalu kerana keyakinan pemimpin AS itu terhadap kepimpinan Anwar di Asia Tenggara.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Perak, Amir Sabri, jemputan itu menunjukkan Trump rasa hormat terhadap keperibadian serta kebijaksanaan Perdana Menteri dalam memahami geopolitik dunia.
"Kita kena bersyukur kerana mempunyai pemimpin yang berfikiran jelas dan faham tentang geopolitik antarabangsa. Tidak semua pemimpin dunia diberi penghormatan sebegitu oleh Trump. Malah, PMX adalah yang pertama di Asia Tenggara dijemput menaiki The Beast.

"Tindakan Trump yang sebelum ini dikenali sebagai pemimpin tegas dan sukar didekati menunjukkan perubahan sikap apabila beliau berasa selesa dengan kehadiran Anwar.
"Trump bukan seperti Obama atau presiden-presiden Amerika lain. Beliau dikenali keras dan suka membuli negara kecil. Tapi apabila beliau sanggup menjemput Perdana Menteri kita duduk bersama dalam satu kereta, itu tanda beliau kagum dan selesa dengan pendekatan diplomasi PMX," katanya kepada Suara Keadilan.
Amir berkata, situasi itu turut menggambarkan keupayaan Anwar untuk berunding secara berhemah dan berkesan dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, sambil mengekalkan pendirian Malaysia dalam isu-isu sejagat.
"Perdana Menteri kita bijak menyeimbangkan hubungan, seperti menarik rambut dalam tepung, tepung tak berselerak, rambut tak putus.
"Dalam masa yang sama, Malaysia tetap konsisten menyuarakan isu keadilan untuk Palestin dan pembangunan semula Gaza," katanya.
Dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat semalam, Datuk Seri Anwar mendedahkan beliau telah mengutarakan kepada Presiden Trump mengenai situasi di Gaza yang menuntut kuasa besar seperti AS untuk bersungguh sungguh memastikan kedamaian dicapai di sana.
Selain itu, Anwar juga berbincang mengenai isu hubungan ASEAN China, juga jemputan kepada Afrika Selatan dan Brazil yang tidak sebulu dengan AS di Sidang Kemuncak ASEAN.
Oleh yang demikian, Anwar tidak mensia siakan masa selama 40 minit menaiki The Beast dari KLIA ke KLCC bersama Presiden Trump untuk mengenengahkan isu isu dunia yang perlu ditangani bersama.





