Setelah 50 tahun berlalu, polisi afirmatif Dasar Ekonomi Baharu (DEB) masih lagi berkisar kepada pemilikan ekuiti yang ditetapkan sebanyak 30% menjelang tahun 1990.
Kegagalan mencapai ekuiti tersebut pada 1990 lalu dan sehingga kini dianggap kegagalan total DEB dalam dasar pemerkasaan ekonomi Melayu-Bumiputera seterusnya.
Namun, bagi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli terdapat kelemahan dalam teori mengaitkan ekuiti dengan kemajuan ekonomi Melayu, apatah lagi pada era milenium yang jauh berbeza daripada dekad 1970an.
"Selepas 3 - 4 dekad (selepas 1970an) kita mempunyai profesional Bumiputera yang besar dalam negara. Negara berjaya melahirkan middle class Bumiputera yang paling besar berbanding kaum lain. Kenapa polemik (ekuiti Melayu) berterusan sedangkan banyak bantuan diberikan? Kerana kita belum berjaya mencapai ekuiti 30% sebagaimana disasarkan pada 1970an.
"Sebenarnya ia adalah perkara yang boleh dilihat dalam lensa berbeza. Definisi Bumiputera sekarang ini adalah pemilikan atau organisasi mandat Bumiputera sahaja. Jadi mana mana yang tidak berkaitan dengan kerajaan, tidak dikira Bumiputera. Itu yang dikatakan 17% (ekuiti sahaja).
"Jadi kita perlu melihat pemerkasaan Bumiputera dengan meluas, tidak hanya kepada pemilikan ekuiti semata mata. Pasaran berubah di mana lebih ramai pelabur atau pemegang saham memilih menggunakan syarikat nominee
"Dari tahun ke tahun ada risiko, kalau melihat pemerkasaan Bumiputera (terhad) soal pemilikan ekuiti, ia (ekuiti akan) menurun. Sebab itu kita kena mengimbangkan supaya bila kita mengambil untuk meningkatkan pemilikan ekuiti, kita juga perlu kembali kepada tujuan asal pemerkasaan Bumiputera dalam perspektif penguasaan dan pemilikan (syarikat).
"Mungkin satu syarikat itu pelaburnya orang luar, 10-20 tahun akan datang lebih banyak syarikat korporat bila disenaraikan pelaburnya orang luar. Syarikat pemula modal teroka banyak bersumber dana asing.
"Kita perlu melihat kepada pengurusan. Satu syarikat misalnya tidak dilihat Bumiputera tetapi pengurusan dari atas sampai ke bawah adalah Bumiputera, ia juga boleh berlaku sebaliknya," katanya dalam forum Sesi Fireside Chat Aspirasi Masa Hadapan Bumiputera bersama YBM Rafizi Ramli sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di PICC, Putrajaya hari ini.
Jelas Rafizi lagi, hal itu perlu diperhalusi sebelum polisi ekonomi melibatkan kaum Melayu diperkenalkan selepas KEB2024.
Katanya, tanpa memperhalusi definisi berkenaan mungkin tumpuan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera akan melalui jalur atau tumpuan yang tersasar.
"Perkara ini perlu kita perhalusi supaya design akan kita serasikan keperluan (keutamaan) kita untuk menangani. Kita kena terima dasar dan pelaksanaan 40 tahun lepas ada 'kesan tidak dijangka'. Permasalahan apa pun dinamik. Misalnya masalah 1980an tidak sama dengan masalah tahun 2000," katanya.
Selain itu, kata Rafizi, harus diharmonikan antara dasar dasar yang telah berjaya dengan dasar baharu yang dirancang.
Katanya, polisi meningkatkan pendidikan Bumiputera bagi menjadikan kaum itu setanding kaum lain telah pun berjalan dengan baik dan perlu diseimbangkan dengan kerangka baharu.
"Kerajaan sejak 1957 telah meletakkan dasar tertentu dan ada yang berjalan dengan baik. Dan kita tidak boleh kehilangannya kalau nak merancang ke peringkat seterusnya.
"Penghapusan kemiskinan tegar berjalan dengan baik, pendidikan dan pengupayaan ekonomi Bumiputera melalui pendidikan juga telah berjalan dengan baik," katanya lagi.
Opmerkingen