Pemerintah perlu faham fiqh keutamaan, objektif pensyariatan hukum
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Pemerintah perlu memahami cabaran baharu dalam pemerintahan dan mendahulukan fiqh keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) dalam praktik siyasah syar'iyyah.
Menurut Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar), pemerintah turut perlu memperluaskan maqasid syar'iyyah kepada cabaran baharu dunia masa kini termasuk dari segi sekuriti makanan, sektor digital, kecerdasan buatan (AI) serta prinsip keadilan.
"Pemerintah bukan hanya perlu memahami nas syarak, malah perlu memahami objektif pensyariatan hukum (fiqh al-maqaá¹£id); mampu melakukan pertimbangan antara maslahah dan mafsadah (fiqh al-muwazanat); serta memahami keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) dalam tindakan siyasah syar'iyyah," katanya dalam Seminar Siyasah Syar'iyyah dan Reformasi Pentadbiran dengan tema "Siyasah Syar'iyyah: Reset dan Reform" anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi, semalam.
Seminar tersebut menyasarkan penjawat awam pelbagai skim perkhidmatan dan gred serta masyarakat awam yang bertujuan untuk mengarus perdanakan reformasi pentadbiran berasaskan siyasah syar'iyyah dengan meneladani legasi khilafah Islam,
mengimbangi cabaran teknologi serta membentuk budaya kerja penjawat awam yang berteraskan nilai rabbani.
Dalam seminar itu juga Dr Zulkifli mengupas bagaimana kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam Sahifah Madinah (perlembagaan) yang memperlihatkan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu' fi itar al-wihdah).
"Inilah asas kepada al-Ta’ayush yang mampu mewujudkan keamanan dan kedamaian dalam kehidupan bernegara dan masyarakat," katanya.
Menurut beliau lagi, Rasulullah SAW telah menjadikan Piagam Madinah sebagai perlembagaan pertama di dunia mendahului Magna Carta yang ditulis kerajaan Great Britain.
Konsep fiqh al-Ta’ayush al-Silmi, menurut beliau, perlu dijadikan tema perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah serta hubungan semasa Muslim dan bukan Muslim.
Selain itu, Dr Zulkifli juga mengambil contoh Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilan dan kewibawaan beliau.