
Pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang kembali ke rahmatullah malam ini merupakan satu kehilangan besar buat Pakatan Harapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat yang setia dan berkeperibadian tinggi.
"Saya amat terkesan tatkala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan juga seorang sahabat yang setia Datuk Seri Salahuddin Ayub telah pergi dijemput Allah SWT hari ini.
"Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.
"Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan," katanya di Facebook.
PM turut memuji sikap tekun berkerja Salahuddin yang tidak mensia siakan amanah yang diberikan oleh rakyat kepadanya sama ada sebagai Ahli Parlimen, ADUN mahu pun Menteri.
"Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.
"Berehatlah, sahabatku.
"Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah," katanya lagi.
Salahudin menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah malam ini.
Allahyarham sebelum ini mengalami pendaharan otak dan dibedah pada Sabtu lalu.