Pemergian lapan anggota FRU satu kehilangan besar buat negara - Saifuddin
- Suara Keadilan
- May 13
- 1 min read

Tragedi kemalangan maut melibatkan trak dinaiki Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu menyebabkan lapan kematian merupakan peristiwa yang menyedihkan bagi warga Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kematian itu juga merupakan satu kehilangan besar buat negara.
"Saya menerima perkhabaran duka mengenai kemalangan tragik yang meragut nyawa lapan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) dalam insiden membabitkan sebuah trak yang mereka naiki dan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi ini.
"Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan anggota pasukan keselamatan yang terkesan dengan kejadian ini. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat negara, kerana mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat," katanya dalam muat naik di Facebook.
Saifuddin berdoa semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat.
"Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa mereka, menempatkan roh mereka bersama yang beriman dan menganugerahkan pahala untuk segala jasa sumbangan para-para wira ini kepada negara," katanya lagi.
Lapan anggota dilaporkan terkorban manakala tiga cedera parah dalam kemalangan membabitkan lori FRU Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di Teluk Intan hari ini.
Memetik Bernama, Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan.
"Buat masa ini laporan diterima lapan meninggal dunia, tiga cedera parah dan tujuh cedera, kenyataan media sedang disediakan," katanya.
Comments