Pemergian tokoh penghibur Allahyarhamah Adibah Noor merupakan kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan takziah ke atas kematian artis terkenal tersebut kerana kanser ovari, semalam.
"Negara dikejutkan dengan pemergian tokoh penghibur yang sangat berbakat dan disenangi ramai, Allahyarhamah Adibah Noor.
"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.
Menurut Anwar lagi, pemergian Adibah akan dikenang melalui karya karya seni beliau.
"Ternyata pemergian Allahyarhamah merupakan kehilangan yang cukup besar dan tiada galang gantinya buat industri seni tanah air.
"Sesungguhnya karya-karya seni Allahyarhamah akan terus dikenang dan diingati selamanya oleh rakyat Malaysia," katanya.
Allahyarhamah Adibah Noor, 52, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, jam 7.30 malam tadi.
Adibah selain penyanyi beliau juga berbakat dalam bidang lakonan.
Комментарии