top of page

Pemegang kuasa perlu utamakan amanah, akauntabiliti - PM

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
10 hours ago
4 min read
DS Anwar berucap berucap pada Khazanah Megatrends Forum 2026 di Kuala Lumpur
DS Anwar berucap berucap pada Khazanah Megatrends Forum 2026 di Kuala Lumpur

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak yang memegang kuasa supaya mengutamakan amanah dan akauntabiliti termasuk memastikan mereka yang bertanggungjawab mengawasi kuasa turut mengawasi diri sendiri.


Perdana Menteri berkata kuasa bergerak lebih pantas berbanding institusi yang sepatutnya mengawalnya sekali gus menjadikan persoalan mengenai siapa yang mengawasi mereka yang berkuasa semakin penting.


"Dalam dunia hari ini, saya fikir terdapat cukup banyak kajian dan rujukan yang menunjukkan bahawa isu akauntabiliti atau kebertanggungjawaban demokrasi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dalam persoalan tadbir urus dunia dan negara.


"Saya percaya perkara inilah yang menjadi punca masalah," katanya ketika berucap pada Khazanah Megatrends Forum 2026 di Kuala Lumpur hari ini.


Turut hadir Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz dan Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.


Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengarah Urusan Khazanah Nasiona Datuk Amirul Feisal Wan Zahir,


Terdahulu Anwar memberi reaksi kepada ucapan Amirul Feisal mengenai sumber kuasa, isu berkaitan kuasa dalam semua bidang serta implikasi dan kesannya.


Namun Perdana Menteri menyedari sebenar masalah Utama dunia dan negara adalah kuasa politik.


"Namun beliau cukup sopan ketika berada di hadapan Perdana Menteri untuk tidak menyentuh sumber utama masalah di dunia dan negara ini, iaitu kuasa politik," katanya.


Perdana Menteri berkata kuasa bergerak lebih pantas berbanding institusi yang sepatutnya mengawalnya, menyebabkan persoalan mengenai siapa yang mengawasi mereka yang berkuasa perlu diberi perhatian serius.


"Dan jarang sekali golongan yang berkuasa merupakan pihak yang membayar harga paling tinggi," katanya.


"Kita perlu mengambil kira amalan perdagangan yang tidak adil, tarif tidak munasabah yang dikenakan secara unilateral, peperangan yang berterusan serta ketidakadilan besar yang berlaku di seluruh dunia.


"Kita semua perlu berkongsi tanggungjawab, tetapi saya fikir persoalan utama dan asas ialah bagaimana kita menangani isu tadbir urus serta tadbir urus dunia."


Dalam pada itu, Anwar berkata akauntabiliti tidak seharusnya hanya dilihat ketika pilihan raya sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk kebertanggungjawaban sebenar oleh mereka yang memegang kuasa.


Kata beliau prinsip itu selari dengan ajaran Islam yang menekankan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan terhadap amanah yang dipikul.


"Pada akhirnya, kita akan dipertanggungjawabkan. Kita memang diajar demikian, walaupun saya tidak bermaksud mengatakan bahawa ia sentiasa diamalkan," katanya.


Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa keputusan yang dibuat oleh golongan berkuasa boleh memberi kesan besar kepada rakyat, khususnya golongan terpinggir, miskin serta masyarakat di bandar, luar bandar dan pedalaman.


Mengambil contoh krisis kewangan 1997, beliau berkata keputusan berkaitan kuasa dan ekonomi tidak seharusnya dibuat dengan mengabaikan nasib majoriti rakyat.


Anwar turut mengangkat kisah khalifah kedua Saidina Umar al-Khattab sebagai contoh mengenai hati nurani seorang pemimpin yang berasa bertanggungjawab terhadap nasib rakyat walaupun perkara itu berlaku di tempat yang tidak pernah dilihatnya.


"Bagaimana kita hendak memahami keadaan apabila penderitaan ditanggung oleh mereka yang tidak mempunyai akses kepada kita atau tidak dapat menyampaikan keperluan mereka kepada kita, tetapi terpaksa menanggung akibat daripada pengabaian atau dasar yang salah?" katanya.


Beliau turut memetik karya William Shakespeare mengenai bahaya penyalahgunaan kuasa selain menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab mengawasi kuasa juga perlu mengawasi diri sendiri.


"Sudah tentu, jawapannya ialah amanah. Amanah ialah tanggungjawab. Ia perkataan yang indah, tetapi cabaran sebenarnya ialah untuk mengamalkannya," katanya.


Dalam pada itu, Anwar berkata perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), cip dan data kini turut membentuk hasil ekonomi serta politik sekali gus menimbulkan persoalan baharu mengenai siapa yang mengawasi algoritma.


Beliau berkata perkembangan AI perlu ditangani dengan berhati-hati susulan kebimbangan berkaitan model AI yang mampu memintas kawalan keselamatan dan mengakses sistem luaran.


"Ini merupakan satu amaran. Kita harus menganggapnya sedemikian," katanya.


Menyentuh aspek ekonomi, Perdana Menteri berkata tarif, kawalan eksport serta sekatan terhadap cip dan mineral kritikal telah menjadikan perdagangan sebagai instrumen tekanan.


Katanya, perkara itu amat penting kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan dan mempunyai industri yang berada dalam rantaian bekalan cip global.


"Sebuah negara perdagangan yang bersikap naif terhadap perkara ini tidak akan kekal sebagai negara perdagangan untuk tempoh yang lama," katanya.


Anwar turut menegaskan kepentingan institusi pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam menangani cabaran global.


Menurutnya Malaysia perlu terus mengekalkan keseimbangan dalam hubungan dengan kuasa besar Barat dan Timur selain memanfaatkan kedudukan strategiknya dalam ASEAN.


Beliau berkata prinsip ASEAN Centrality perlu diterjemahkan kepada keupayaan untuk membentuk perkembangan serantau dan bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada mesyuarat.


"Kita bernasib baik kerana berada dalam ASEAN, yang secara bersama memegang prinsip ASEAN Centrality. Tetapi ia mesti membawa maksud keupayaan, iaitu kuasa untuk membentuk peristiwa, bukan sekadar menjadi tuan rumah mesyuarat," katanya.


Anwar berkata perbezaan antara negara di rantau ini perlu terus diselesaikan melalui rundingan dengan memberi tumpuan kepada ekonomi, perdagangan dan pelaburan bagi memastikan keamanan serta kestabilan terus terpelihara.


Beliau pada masa sama mengucapkan penghargaan kepada Khazanah Nasional atas penganjuran forum berkenaan dan berkata beliau akan membentangkan kertas awal mengenai Megatrend Forum pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini.


"Ini menunjukkan bahawa demokrasi bukan sesuatu yang hanya disebut sebagai kata-kata indah untuk meraih sokongan.


"Demokrasi ialah bagaimana kita mengamalkannya," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page