
Kerajaan MADANI terus berusaha menumpukan kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) apabila mengumumkan semua pemegang kad golongan itu kini boleh menikmati tambang percuma semua jenis pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mulai 1 Februari tahun depan.
Langkah itu merupakan satu penambaikan kepada kemudahan sebelum ini iaitu pemberian diskaun 50 peratus bagi tambang perjalanan untuk pengguna OKU.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kemudahan itu melibatkan semua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas Prasarana di sekitar Lembah Klang.
"Pengguna hanya perlu mengemukakan kad OKU yang dikeluarkan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan memohon kad berkenaan.
"Prasarana bersetuju untuk memberikan tambang percuma kepada OKU walaupun memberi impak kewangan kepada Prasarana. Kemudahan ini sebahagian daripada CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka," katanya kepada pemberita di Stesen MRT Stadium Kajang, Kajang hari ini, petik Bernama.
Berdasarkan rekod JKM, sehingga Januari lalu, terdapat seramai 637,537 orang OKU didaftarkan di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan seramai 104,909 orang manakala Kuala Lumpur (45,355).
Loke memberitahu pihak Prasarana diberi tempoh sebulan untuk melaksanakan persiapan dan menyelaraskan sistem tiket termasuk pemberian kad konsesi khas kepada pengguna OKU.
Terdahulu Loke merasmikan projek rintis koc wanita bagi perkhidmatan MRT laluan Kajang di Stesen MRT Bandar Tun Hussien Onn, Cheras.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah yang turut dibawa menaiki MRT untuk meninjau pelaksanaan koc wanita berkenaan.
Loke berkata sejak koc wanita MRT laluan Kajang dilancarkan pada 18 September lepas, aduan kes gangguan seksual menunjukkan trend penurunan iaitu daripada lapan kes pada suku pertama tahun ini kepada hanya tiga kes dalam suku keempat meskipun jumlah penumpang meningkat.
Comments