Pemecatan Saifuddin Abdullah: Bersatu tenggelam dalam krisis - David Cheong
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Bersatu sekali lagi menyingkap krisis kepimpinan dan ketidakstabilan dalaman yang terus membelenggu parti tersebut.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata, Bersatu bukan sahaja berdepan krisis kepercayaan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), malah sedang bergelut dengan krisis dalaman parti yang semakin meruncing, dicirikan oleh pertelingkahan, pemecatan dan perebutan kuasa sesama sendiri.
"Episod baharu dalam krisis pembangkang ini adalah rentetan kepada budaya politik lompat parti dan oportunisme kuasa yang dinormalisasikan oleh kepimpinan PN sendiri.

"Dalam masa yang sama, Kerajaan MADANI terus stabil dan kukuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kerajaan MADANI tidak terperangkap dalam drama politik sempit, sebaliknya terus melangkah ke hadapan merencana dan melaksanakan dasar serta program yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan memacu pemulihan serta reformasi negara.
"Perbezaannya jelas iaitu satu pihak tenggelam dalam krisis dalaman, (manakala) satu pihak lagi fokus mentadbir dan membela kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berkuat kuasa semalam, Bersatu memecat Saifuddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya.
Perkara berkenaan disahkan Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid seperti dilapor Bernama.
"Ya betul (pemecatan itu). (Ini kerana) beliau sebelum ini pernah dalam platform terbuka mengkritik Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
"Beliau telah diberi peluang bagi membela diri dan mesyuarat Lembaga Disiplin yang bermesyuarat semalam telah memutuskan pemecatan beliau," katanya.
Harris Idaham berkata, Saifuddin telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan Bersatu namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.









Comments