top of page

Pemberian TAHAP: Sokongan kepada Kerajaan Negeri ditambahbaik



Kerajaan Persekutuan telah menambahbaik sistem pemberian peruntukan wajib dan sokongan kepada Kerajaan Negeri untuk tahun 2023.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara penambahbaikan yang dijalankan adalah meningkatkan pemberian berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.


Keputusan tersebut jelasnya telah diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 yang dipengerusikannya dan dihadiri oleh semua menteri besar dan ketua menteri atau wakil dari setiap negeri.


"Keputusan ini menzahirkan komitmen serta kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing dan seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia MADANI," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kenyataan semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan mesyuarat turut bersetuju dengan kenaikan peruntukan pemberian Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) dari RM70 juta kepada RM150 juta. Ia sebagai galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu.


Untuk penambahbaikan ke atas pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri pula, Kementerian Kewangan bersetuju mempertimbangkan dan meminda kaedah pengeluaran kepada secara bayaran kemajuan kerja melibatkan pinjaman baharu bagi projek-projek pembangunan di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia.


"Pendekatan ini dapat menyegerakan proses penyaluran peruntukan yang disediakan secara pinjaman, membantu kerajaan negeri yang mempunyai masalah aliran tunai dan bergantung kepada peruntukan pinjaman bagi melaksanakan projek pembangunan serta akan melancarkan pelaksanaan projek-projek pembangunan," jelas Anwar.


Kerajaan Persekutuan turut bersetuju agar pakej insentif cukai bagi pelaburan ke negeri dilanjutkan bagi tempoh peralihan dua tahun sehingga 31 Disember 2024 melibatkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.


Langkah itu untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara melalui aktiviti pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak swasta selain sebagai langkah interim ke arah pemakaian struktur insentif baharu yang lebih menyeluruh.


Kerajaan Persekutuan juga, katanya, akan menambah baik penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri bagi menyelenggara jalan dan kerja-kerja lain termasuk penggantian papan tanda nama jalan dan lorong bagi jalan.


Walau bagaimanapun kerajaan negeri disaran untuk memberi keutamaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing kepada kontraktor Kelas G1 hingga G4.


"Langkah ini bertujuan untuk membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas," jelas Anwar lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page