top of page

Pemberian SARA RM100, lambang sikap pemurah kerajaan - Aminolhuda

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 28
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 kepada rakyat berumur 18 tahun adalah suatu bentuk kasih sayang dan keprihatinan kerajaan kepada semua golongan sama ada B40, M40 atau T20, kata ahli parlimen Seri Gading, Aminolhuda Hassan.


Menurut beliau, walaupun jumlah RM100 itu mungkin kelihatan kecil kepada golongan berkemampuan namun ia membawa makna besar bagi rakyat berpendapatan rendah.


"Untuk orang yang tak berapa berduit, RM100 ini pun boleh digunakan untuk membeli barang dapur seminggu, atau untuk keperluan asas seperti barangan runcit, makanan, dan pemeriksaan kesihatan.


"Ini menunjukkan bahawa kerajaan menambah peruntukan secara berperingkat, dan secara tersirat membantu lebih ramai penerima, terutamanya dalam kalangan orang Melayu yang merupakan majoriti golongan B40," katanya kepada Suara Keadilan.


Bagi pengkritik kerajaan beliau mengingatkan bahawa jumlah keseluruhan SARA yang diterima oleh golongan B40 sebenarnya telah meningkat dengan ketara, daripada RM1,200 pada tahun 2023 kepada RM2,100 pada tahun 2025, dan bukan hanya RM100 setahun sebagaimana yang disindir pembangkang.


Manakala kira-kira 70 peratus penerima SARA RM100 pula adalah dari kalangan orang Melayu berdasarkan struktur demografi dan saiz keluarga yang lebih besar dengan nilai keseluruhan RM2 bilion bagi pelaksanaan bantuan yang dijangka memanfaatkan lebih 22 juta rakyat.

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan

"Jika satu keluarga ada lima atau enam anak yang layak, jumlah bantuan yang diterima boleh mencecah RM500 hingga RM600. Itu bukan jumlah yang sedikit," tambah beliau.


Beliau turut menggesa penerima supaya bijak menggunakan wang bantuan tersebut untuk keperluan penting seperti makanan, barangan dapur dan mungkin dikumpul untuk membeli peralatan rumah seperti mesin basuh, dapur atau peti ais.


"Bantuan ini lebih bermakna jika digunakan secara berhemah. Contohnya, satu keluarga besar boleh kumpul wang bantuan dan buat kenduri atau beli keperluan asas secara kolektif," kata Pengerusi AMANAH Johor itu lagi.


Dalam pada itu Aminolhuda mencadangkan kerajaan mewujudkan satu mekanisme untuk mengutip semula dana yang tidak digunakan dan menyalurkannya kepada individu atau keluarga lain yang benar-benar memerlukan kepada mereka yang ingin memulangkan bantuan tersebut.


"Katakan 10 peratus rakyat tak ambil, itu mungkin bersamaan RM200 juta. Duit itu boleh diagihkan semula kepada yang lebih memerlukan.


"Saya juga nak ingatkan agar kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima dan melihat saha kerajaan ini sebagai langkah memperbaiki kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.


"Rezeki itu datang dari Allah. Bila kita bersyukur walaupun dengan sedikit, insya-Allah akan ada pertambahan lagi," ujarnya lanjut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page