Bantuan SARA bulanan dikredit hari ini, beli barang keperluan asas
- Suara Keadilan
- 11 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan untuk isi rumah dan warga emas telah dikreditkan ke dalam kad pengenalan pintar mereka mulai hari ini.
Kementerian dalam hantaran di media sosial berkata bantuan tersebut turut diagihkan kepada golongan bujang mulai 16 Januari ini.
Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas dalam 14 kategori di lebih 10,000 pasar raya dan kedai runcit terpilih di seluruh negara.
"Nak beli dekat kedai runcit kawasan rumah pun boleh! Nak semak lokasi kedai? Mudah saje, guna aplikasi MyKasih atau layari www.sara.gov.my," kata kementerian.
Terdahulu Kementerian Kewangan memaklumkan SARA Bulanan 2026 melibatkan bayaran setahun mengikut kategori iaitu bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) eKasih isi rumah sebanyak RM2,400 manakala warga emas(RM1,800) dan bujang (RM1,200).
Bagi penerima STR selain eKasih penerima isi rumah menerima RM1,200 setahun manakala warga emas dan bujang masing-masing RM600.
Mulai 2026, semua penerima STR layak menerima SARA sehingga RM200 mengikut kategori dengan seramai 5 juta isi rumah termasuk warga emas bakal mendapat manfaat mulai hari ini manakala 3.1 juta individu bujang menerima bantuan itu bermula 16 Januari.
Keseluruhannya penerima SARA bulanan pada tahun ini melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan RM8 bilion berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun lalu.





