Hidupkan UPSR dan PT3: Kajian semula dilaksana - Fahdlina
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan memutuskan kajian semula akan dilakukan terhadap keperluan untuk melaksanakan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Menterinya Fadhlina Sidek (gambar) berkata, kementerian akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi melakukan kajian tersebut sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
"Kita akan mengkaji semula soal peperiksaan itu kerana itu yang masih lagi menjadi permintaan ibu bapa.
"Apa sahaja peperiksaan yang disebut ataupun maknanya yang berada dalam polemik masyarakat itu, saya minta nanti Dr Mohd. Azam Ahmad (Ketua Pengarah Pendidikan) memberikan perincian.
"(Ini termasuk) perbincangan bersama ahli-ahli Majlis Penasihat itu nanti akan membincangkan dan laporan kaji selidik dan apa sahaja keputusan itu, kita akan serahkan kepada ahli Kabinet untuk dibuat keputusan," katanya dipetik dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.
Fadhlina menjelaskan kajian tersebut akan segera dilaksanakan dalam masa terdekat.
UPSR dimansuhkan pada 2021 manakala PT3 dimansuhkan pada 2022 sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Dalam pada itu, beliau menyatakan komitmen kementerian untuk mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih awal bermula tahun depan susulan rungutan daripada ibu bapa berhubung bantuan tahun ini yang hanya mula diedarkan pada minggu pertama persekolahan.
"Kebetulan tahun ini kita baru sahaja memulakan sesi persekolahan pada Januari, jadi memang ada sedikit rungutan yang kami terima.
"Mulai tahun hadapan, kami akan terus perbaiki dan saranan itu kami ambil secara serius. Maknanya (BAP) diberikan lebih awal supaya persiapan boleh dilakukan lebih awal," kata Fahdlina.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM800 juta bagi menyediakan BAP sebanyak RM150 kepada semua pelajar tahun satu hingga tingkatan enam tahun ini.





