Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak hari ini menyelesaikan banyak perkara yang telah 'tersangkut' selama bertahun tahun dalam perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang lepas.
Anwar dalam sidang medianya usai Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan MA63 bersama Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah pagi tadi segera mengumumkan bahawa peruntukan sumbangan kepada Sarawak dan Sabah ditingkatkean kepada RM300 juta setahun.
"Satu perkara yang rumit dan lama dibincangkan, saya beritahu kepada Premier dan Ketua Menteri ialah pemberian khas Perkara 112D. Maknanya tiap tahun ikut perjanjian MA63, satu pemberian khas dilakukan tetapi saya teliti.
"Perbincangan bertahun tahun Sarawak ditetapkan dapat RM16 juta. Saya tak fikir ini munasabah. Untuk peringkat awal Premier menekankan perlunya formula. Saya setuju.
"Untuk itu peringat awal kita tingkatkan daripada RM16 juta kepada RM300 juta sebagai suatu sumbangan, tetapi tertakluk kepada formula ditetapkan (pada masa hadapan). Jangan terikat kepada RM300 juta itu. Harus diperinci supaya formula diterima pakai," kata Anwar.
Mengenai isu projek RM50 juta yang diberi kuasa diluluskan di peringkat negeri, PM berkata jumlah itu boleh ditingkatkan sekiranya formaliti dan peraturan diikuti secara rapi.
"Apa rasional projek di bawah RM50 juta dikendalikan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Pengalaman menunjukkan birokrasi peringkat pusat itu, dan ada yang tidak dapat dibelanjakan. Jadi cabaran bagi negeri ialah mempesatkan pelaksanaan projek di bawah RM50 juta. Pemantauan dari segi peraturan kewangan dipatuhi
"Apakah had RM50 juta? Saya maklumkan sekiranya ini berjalan lancar, saya tidak ada masalah meningkatkan had RM50 juta itu kepada jumlah lebih tinggi," katanya.
Anwar juga bersetuju dengan cadangan melantik wakil dari Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri asalkan berkelayakan.
Bagi isu tanah milik individu yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk kegunaan pembinaan sekolah, hospital dan sebagainya tetapi tidak dibina sebarang premis di atasnya sejak puluhan tahun lalu dan diminta untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri, PM bersetuju agar tanah itu diserahkan dengan kos yang tidak mengikut anggaran semasa kerana nilainya relatif tinggi.
Keseluruhannya, simpul Anwar, mesyuarat tersebut bersetuju untuk menetapkan status asas MA63 iaitu Semenanjung satu entiti, juga Sarawak satu entiti dan Sabah satu entiti.
Katanya, hal itu merupakan ketetapan asal Perjanjian Malaysia 1963 yang telah ditandatangani sejak 6 dekat lalu dan akan dilaksanakan selepas ini.
Comments