Pemberi, penerima rasuah tetap pesalah, MCW sokong ketegasan SPRM
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong penuh tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menolak dakwaan bahawa agensi itu bertindak secara salah dalam siasatan melibatkan saksi kes rasuah, Albert Tei yang mengaku sebagai pemberi rasuah.
Presidennya Jais Abdul Karim menegaskan pemberi rasuah tidak boleh dianggap sebagai pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
"Perlindungan hanya wujud jika laporan dibuat sebelum kesalahan berlaku dan melalui saluran rasmi.
"Jika terlebih dahulu mendedahkan maklumat kepada media, perlindungan itu terlucut secara automatik," katanya dalam kenyataan.
Jais berkata, tindakan seseorang tampil di hadapan media selepas melakukan jenayah tidak menjadikan mana-mana individu sebagai ‘wira moral’.
Malah katanya, hal itu menarik perhatian bahawa wujud trend berbahaya apabila pemberi rasuah cuba memanipulasi undang-undang apabila mereka gagal mendapat manfaat daripada perbuatan jenayah yang dilakukan.
"Jika budaya ini dibiarkan, sesiapa sahaja yang memberi rasuah akan cuba tampil sebagai ‘hero integriti’ selepas gagal memperoleh apa yang mereka mahukan. Ini bukan perjuangan integriti, ini manipulasi undang-undang," tegas beliau.
Dalam hal berkenaan Jais menegaskan, SPRM tidak boleh ditekan untuk hanya menyiasat penerima rasuah kerana kedua-duanya melakukan jenayah yang sama berat.
"Malaysia tidak boleh mengamalkan keadilan separuh masak. Tempat menentukan benar atau salah ialah mahkamah, bukan media sosial," katanya.
Justeru itu, MCW turut menyeru semua pihak termasuk ahli politik, peguam, NGO, saksi dan pengamal media supaya tidak mengganggu siasatan SPRM melalui serangan persepsi yang boleh memesongkan proses keadilan.
Sesiapa yang mendakwa tidak bersalah berhak menggunakan saluran undang-undang untuk membela diri, bukan mencipta naratif bagi meraih simpati, ujarnya.
Jais berkata status 'whistleblower' tidak terpakai kepada mana-mana individu yang mendedahkan maklumat kepada media sebelum membuat laporan secara sah kepada pihak berkuasa dan keadilan tidak boleh tunduk kepada naratif yang dicipta demi menyelamatkan diri.
"Tugas kita ialah melindungi integriti negara, bukan melindungi individu yang cuba menyelamatkan diri. Rasuah tetap rasuah, pemberi dan penerima adalah pesalah dan undang-undang mesti ditegakkan tanpa kompromi," tegasnya.





