Sokongan UMNO: Pembentangan Mujibu Muis bukan analisis rasmi ILHAM Centre
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Badan kajian pendapat ILHAM Centre menegaskan pembentangan yang disampaikan oleh Mujibu Muis dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia pada 3 Januari lalu merupakan pandangan peribadi pembentang dan tidak mewakili dapatan rasmi, pendirian institusi atau analisis berasaskan data pusat penyelidikan berkenaan.
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar (gambar) berkata, segala maklumat, interpretasi dan kesimpulan yang dikemukakan dalam pembentangan tersebut berada di bawah tanggungjawab penuh individu berkenaan.
"Pembentangan tersebut adalah di bawah tanggungjawab penuh pembentang dan tidak boleh dianggap sebagai laporan, kajian atau kenyataan rasmi daripada ILHAM Centre," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, ILHAM Centre bagaimanapun menghormati kebebasan bersuara serta kepelbagaian pandangan akademik dan analitikal yang disuarakan oleh panel jemputan dalam mana-mana platform wacana ilmiah.
Bagaimanapun, Hisommudin menegaskan bahawa sebarang rujukan kepada dapatan rasmi ILHAM Centre hanya dikeluarkan melalui saluran komunikasi rasmi badan itu.
"Sebarang rujukan kepada dapatan rasmi ILHAM Centre hanya sah apabila dikeluarkan melalui saluran komunikasi rasmi institusi, termasuk laporan, kenyataan media atau pembentangan yang diberi mandat secara rasmi oleh pihak pengurusan ILHAM Centre," katanya lagi.
Pada sabtu lalu, Mujibu Abd Muis membentangkan hasil tinjauan pola pengundian kaum Melayu di Malaysia.
Beliau menjelaskan trend pengundi semakin besar ke arah 'tunggu dan lihat' dan memberi impak kepada sokongan terhadap UMNO.
Beliau membahagikan pengundi kepada pengokong setia, kelompok bantah beralih undi Perikatan Nasional dan Atas Pagar yang yang merupakan kelompok paling besar sejak pengenalan Undi 18 pada 2019 lalu.
Katanya, data semasa menunjukkan pengundi UMNO terpecah tiga; pengundi setia sekitar 28 peratus, pengundi bantah 45 peratus, selebihnya Atas Pagar dan lain lain.
Sokongan mengikut kaum ke atas Kerajaan Perpaduan pula, Melayu 12 peratus menyokong, bukan Melayu sekitar 70 peratus.









Comments