Barakah Pit Stop dilancar di Masjid Wilayah, bantu rider, pemandu p-hailing
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Inisiatif kebajikan dikenali sebagai Barakah Pit Stop dilancarkan di Masjid Wilayah Persekutuan bagi menyediakan kemudahan persinggahan kepada penunggang motosikal dan pemandu p-hailing yang mencari rezeki di jalan raya.
Pelancaran inisiatif itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang menyifatkan usaha tersebut sebagai kaedah mendekatkan golongan pekerja lapangan dengan institusi masjid.
"Singgah rehat, singgah juga di rumah Allah. Alhamdulillah, saya lancarkan Barakah Pit Stop di Masjid Wilayah Persekutuan — inisiatif khas untuk para rider dan pemandu p-hailing yang saban hari mencari rezeki di jalanan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kemudahan itu menyediakan ruang untuk berehat, mengecas telefon, serta menikmati makanan dan minuman percuma di luar bulan Ramadan, selain memudahkan mereka menunaikan solat.
Tambah Zulkifli Hasan, pengalaman peribadinya sebagai bekas penunggang motosikal ke tempat kerja memberi pemahaman mendalam terhadap keperluan golongan tersebut.
"Saya memahami jerih payah mereka kerana suatu ketika dahulu saya juga pernah bermotosikal pergi kerja. Sebab itu masjid dilihat tempat terbaik untuk mereka singgah — rehatkan badan, tenangkan jiwa dan dekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa-Taala," ujarnya.
Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyerahkan cek cura berjumlah RM105,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Prihatin Insan Kuala Lumpur dan Selangor bagi menjayakan program tersebut, sekali gus memastikan agihan zakat sampai terus kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata, usaha itu akan diperluaskan ke masjid-masjid lain pada masa akan datang.
"Insya-Allah, usaha ini akan diperluaskan agar lebih ramai singgah ke rumah Allah dan meraih keberkatan," katanya, sambil merakamkan penghargaan kepada MAIWP, pengurusan masjid dan NGO PEKERTI atas komitmen menjayakan inisiatif berkenaan.




Comments