top of page

MRSM Sungai Besar perkenal surau pintar berasaskan IoT

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 2 min read
Pusat Islam Pintar As-Syafie di MRSM Sungai Besar merupakan surau pintar berteknologi IoT
Pusat Islam Pintar As-Syafie di MRSM Sungai Besar merupakan surau pintar berteknologi IoT

Pengurusan institusi Islam kini melangkah ke era baharu apabila Pusat Islam Pintar As-Syafie di MRSM Sungai Besar diperkenalkan sebagai sebuah surau pintar berasaskan teknologi Internet of Things (IoT) yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan.


Pusat Islam Pintar As-Syafie telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wan, sempena lawatan kerja beliau ke Negeri Selangor, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha memperluaskan penerapan teknologi pintar dalam ekosistem pendidikan dan pembangunan modal insan negara.


Berbeza daripada surau konvensional, Pusat Islam Pintar As-Syafie dilengkapi dengan sistem automasi dan pemantauan berpusat yang membolehkan pelbagai operasi harian diurus secara lebih cekap, sistematik dan menjimatkan tenaga.


Antara fungsi utama yang dibangunkan termasuk kawalan elektrik secara automatik, pemantauan penggunaan tenaga secara masa nyata serta pengurusan fasiliti pintar yang boleh dipantau dan dikawal melalui platform digital.


Inisiatif ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara TVETMARA Petaling Jaya, CodoraTech dan EZYIT Solutions (M) Sdn Bhd, yang berganding bahu membangunkan penyelesaian teknologi bagi mentransformasikan pengurusan surau selari dengan aspirasi pendigitalan negara.


Sebagai penyedia teknologi utama, EZYIT Solutions membangunkan keseluruhan ekosistem IoT Masjid Pintar yang dipatenkan untuk menjadi tulang belakang kepada operasi Pusat Islam Pintar As-Syafie


Menurut pihak EZYIT Solutions, penggunaan teknologi pintar dalam institusi Islam bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pembaziran tenaga — dengan penjimatan tenaga dicapai sehingga 35% — malah membuka ruang kepada pengurusan fasiliti yang lebih moden, mampan dan mesra pengguna.


"Transformasi digital tidak seharusnya terhad kepada sektor industri atau komersial semata-mata.


"Institusi pendidikan dan pusat ibadah juga berpotensi memanfaatkan teknologi pintar bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memberikan pengalaman yang lebih baik kepada komuniti," kata Zulhisham Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif EZYIT Solutions (M) Sdn Bhd.


Selain menjadi model pengurusan surau masa hadapan, projek ini turut berfungsi sebagai platform pembangunan bakat dan usahawan teknologi melalui Program TeknoUsahawan yang diterajui oleh CodoraTech bersama EZYIT Solutions dalam ekosistem TVETMARA Petaling Jaya.


Program tersebut memberi peluang kepada pelajar dan usahawan muda untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan, konfigurasi dan pemasangan sistem IoT sebenar di lapangan, sekali gus memberikan pengalaman industri yang bernilai tinggi.


Pendekatan pembelajaran berasaskan projek sebenar ini diyakini mampu melahirkan lebih ramai usahawan teknologi Bumiputera yang berkemahiran tinggi dalam bidang Internet of Things, automasi dan teknologi pintar, sejajar dengan keperluan ekonomi digital negara.


Pihak EZYIT Solutions merakamkan penghargaan kepada MARA Selangor, pengurusan MRSM Sungai Besar, TVETMARA Petaling Jaya serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.


Kejayaan pelaksanaan Pusat Islam Pintar As-Syafie diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih banyak Masjid Pintar dan Surau Pintar di seluruh negara, sekali gus membuktikan bahawa teknologi tempatan mampu memainkan peranan penting dalam memperkasakan institusi Islam pada era digital.


Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran Senator Datuk Rosni Sohar, Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Majlis MARA; Mohd Halmishahril Ahmad Jamir, Pengarah MARA Negeri Selangor; Kamal Farihi Mat Read @ Arshad, Pengetua MRSM Sungai Besar ;Mohamad Hanif Hamali, Pengetua MRSM Kuala Kubu Bharu; Mohd Khairun Naim Mustaffa, Pengarah TVET MARA Petaling Jaya; Meor Mohammad Khalif Meor Mohamad Omar, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA; Zulhisham Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif EZYIT Solutions (M) Sdn Bhd dan Muhammad Akmal Mohd Rumaizi, Pengarah Urusan CodoraTech.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page